Jumaat, 22 Mei 2009

SB dan kerahsiaan dalam perjuangan

Polis Cawangan Khas (SB), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), trafik, forensik, siasatan jenayah adalah kakitangan kerajaan. Mereka digajikan untuk menjamin keselamatan rakyat. Rakyat membayar cukai kepada kerajaan dan sebahagian wang itu digunakan sebagai imbuhan bulanan mereka.

PAS adalah parti yang berjuang secara aman (muwajahah silmiyyah) mengikut lunas-lunas demokrasi. Dalam ceramah, pengerusi majlis lazimnya mengalu-alukan kehadiran semua hadirin termasuk polis. Namun, dalam banyak kes, pihak keselamatan seperti SB dilihat condong kepada parti pemerintah (walaupun kini PR juga memerintah di beberapa negeri).

Semasa dalam perjalanan pulang menghadiri program parti di Jerantut, seorang sahabat  melahirkan kebimbangan tentang SB yang berdampingan rapat dengan pimpinan PAS di Lipis. Saya cuma mendengar kerana tiada maklumat. Namun, perkembangan terbaru mendorong saya untuk berbicara tentang SB dan soal menjaga rahsia-rahsia perjuangan parti.

Saya telah diminta untuk mengaktifkan blog ini semenjak awal bulan Mei. Hebatnya polis dan SB, mereka menjadi antara yang terawal membuat komen di blog ini selepas diaktifkan. Nampaknya SB begitu menekuni gerak kerja parti politik. Tidak hairanlah, jika blog pahangdaily tertera peringatan bahawa blog tersebut sedang diawasi.

Pengalaman lalu memberitahu saya bahawa SB begitu tekun mencari maklumat dan melaporkan kepada pihak yang mengarahkan mereka. Sewaktu kemelut dua imam di Besut pada tahun 1980-an, ayah saya memberitahu bahawa setiap kali Jumaat, SB akan merakam khutbah. Ketika saya terlibat dengan Persatuan Mahasiswa di kampus, emak saya memberitahu bahawa ada SB datang ke rumah dan bertanya sesuatu tentang pergerakan saya.

Pada 14 Februari 2009, saya menitiskan air mata sewaktu Pn Laila (isteri tahanan ISA) yang bercerita tentang penderitaan yang ditanggungnya. Katanya, beliau amat tertekan kerana ahli keluarga di kelilingi oleh SB dan hubungan dengan sanak saudara menjadi renggang kerana hasutan pihak tertentu yang memburuk-burukkan suaminya. Belilah buku `Dunia Tanpa Suami' untuk menyelami penderitaan tersebut.

Dalam majlis yang sama, YB Shaari Sungib menyifatkan bahawa SB di negara ini adalah `political police'. Pengalaman beliau bersama SB dan ditahan ISA menyimpulkan bahawa jangan sekali-kali percayakan SB (never trust SB). Mereka boleh membawa pelbagai watak untuk mendapatkan maklumat yang diarahkan.

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah mengajar kita semua kepentingan menjaga kerahsiaan. Misi keluar dari kepungan maut Quraisy dan berjaya sampai ke Madinah dilalui dengan penuh strategi dan bermaklumat. Saidina Abu Bakar sendiri menyuruh anaknya Abdullah mengintip apakah yang diperkatakan tentang Muhammad SAW oleh Quraisy di siang hari dan melaporkan segala-galanya kepada beliau di waktu senja.  Beliau juga menyuruh orang suruhannya, Amir bin Fuhairah membawa kambing ternakan ke pintu Gua Thur untuk membekalkan susu dan menghilangkan kesan-kesan tapak kaki.

Perjuangan Islam perlu diteruskan. Halangan dan tribulasi adalah sunnah perjuangan. Amanah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi mesti dilunaskan. Sesungguhnya penderitaan di dunia ini terlalu kecil dan kita mengharapkan rahmat Allah untuk menghuni syurga di negeri yang kekal abadi. Setiap amal usaha ada pertimbangan dosa-pahala. Termasuklah bertugas sebagai SB.

1 ulasan:

QH berkata...

never and ever to trust SB..

Catat Ulasan