Isnin, 18 Mei 2009

Kemudahan solat kepada peniaga

Ramai di kalangan saudara-mara kita yang berniaga. Mereka memilih bidang yang menjadi 9/10 sumber rezeki. Antara medan niaga majoriti orang kita ialah pasar malam. Di Bandar (L) Lipis, pasar bermula dari petang Jumaat. Tiga waktu solat iaitu asar, maghrib & isyak dilalui sepanjang tempoh jual-beli. Namun, dari penelitian saya secara individu, tiada peningkatan saf solat samada di Masjid al-Firdaus, Masjid Daerah dan Surau Stesen Keretapi. Mungkin ada yang mengerjakan solat jamak (kita bersangka baik). Bagaimana pula dengan peniaga setempat ?

Di pekan Padang Tengku, pasar bermula dari petang Sabtu. Tiga waktu solat juga dilalui oleh pembeli dan penjual. Saya juga mendapati tiada peningkatan saf samada di Masjid Baru atau Masjid Lama. Surau stesen keretapi belum sempat saya buat tinjauan. Tidak bersolat bermaksud berniaga dalam persekitaran maksiat. Perkara ini perlu diberikan perhatian samada oleh agensi agama atau kita sendiri sebagai melunaskan amal makruf dan nahi mungkar.

Samada dirancang atau kebetulan, tapak pasar malam, pasar tani dan pasar basah di Lipis berdekatan dengan surau dan masjid. Maksudnya kemudahan untuk bersolat sudah ada. Apakah perlu menunggu pegawai penguatkuasa untuk berhenti sebentar untuk tunaikan solat ? Saya teringat sewaktu singgah di Kota Bharu beberapa tahun yang lepas. Padang bas di mana tempak mek-mek kelate berniaga belum pindah (dekat stesen bas). Waktu maghrib tiba. Sepanjang azan, perniagaan dihentikan sementara. Kalau tak silap saya, itu antara peraturan MPKB.

Pembeli dan peniaga boleh memainkan peranan. Kepada pembeli, di kala azan, tak usahlah turun ke pasar. Kepada peniaga, tidak rugi tinggalkan sekejap produk anda untuk solat. Lebih-lebih lagi jika berniaga dengan beberapa orang pembantu. Ketika tsunami melanda Acheh, ramai yang bertanya, kenapa orang baik pun dilambung oleh keganasan ombak ? Ustaz menjawab bahawa mereka lalai dalam soal `nahi mungkar'. Minta Allah jauhkan `tsunami, taufan atau halilintar' di Lipis dan kita perlu bersama berubah ke arah yang lebih baik.

1 ulasan:

pakteh berkata...

Ramai Peniaga Pasar Malam Tak Solat!

Catat Ulasan