Ahad, 31 Mei 2009

BN pupus di Lipis ?

Kini ramai penduduk Lipis yang merungut. Perlantikan PM baru yang merupakan anak kelahiran daerah ini belum menampakkan perubahan yang dikehendaki oleh orang ramai. Slogan rakyat didahulukan belum berpijak di bumi nyata. Mereka merungut tentang sukar untuk mendapatkan `khidmat BN'.

Saya membuat beberapa tinjauan untuk menyelami kesusahan rakyat. Saya bertemu dengan seorang peniaga yang sudah lama menjalankan kedai runcit di Padang Tengku. "BN dah tak ada lagi sekarang", jelas beliau. Kemudian, saya ke Kampung Bapong yang sebelum ini merupakan `kubu BN'. Mak cik yang mengusahakan perniagaan sejak sekian lama juga mengesahkan bahawa BN dah hilang.  Bagi mak cik ini, sepatutnya BN lebih banyak selepas Najib menerajui negara.

Kemudian, saya terus ke kedai Mesra Petronas di bandar Lipis. Selalunya mudah berjumpa dengan BN di sana. Semacam dilanda musibah, BN juga tiada di situ. Di Pasaraya Aktif pun tiada. Ke mana menghilang BN ? Semasa nak ke Manek Urai, saya singgah makan nasi kerabu berlauk ayam bakar di bandar lama Gua Musang. Yang saya agak terkejuk ialah banyaknya BN di bandar ini.

BN yang saya maksudkan ialah jenama beras 15% hancur iaitu Beras Nasional. Dalam kegawatan ekonomi sekarang, rakyat sepatutnya diberikan pilihan untuk membeli beras mengikut kemampuan mereka. Yang kaya, boleh membeli beras bergred tinggi dengan kadar kehancuran 5%. Yang berpendapatan sederhana, boleh memilih untuk membeli beras 10% hancur. Bagi golongan bawahan, tentulah beras 15% hancur menjadi pilihan.

Beras 15% hancur di akhir era Pak Lah dijual dengan harga RM17 sekampit (10 kg). Walaupun harganya boleh dinaikkan mengikut zon tertentu seperti yang tertera pada plastik pembungkus. Kemudian, naik RM18 sekampit. Di Gua Musang, harganya kini RM18.50. Dari pemerhatian saya, kualiti beras itu juga semakin rendah sejak akhir-akhir ini.

Menteri yang menjaga hak pengguna adalah orang Pahang. Mewakili penduduk yang berpendapatan rendah, kami memohon supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna bekerjasama dengan agensi yang berkenaan untuk memastikan beras 15% hancur mencukupi di kawasan Lipis dan tempat-tempat lain. Usah naikkan amarah rakyat sehingga mereka bertindak memberikan pukulan KO kepada kerajaan Be End dan terus pupus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan