Rabu, 20 Mei 2009

JASA dan propaganda umno

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) adalah agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Namun, ia seakan-akan agensi penerangan parti pemerintah (umno/bn). Di Lipis, saya ada menghadiri beberapa program JASA. Di Dewan Jubli Perak Lipis, pegawai JASA datang menerangkan Islam Hadhari (era Pak Lah). Antara yang saya masih ingat, pegawai yang berceramah meminta pendengar supaya tak usahlah pertikai istilah Islam Hadhari atau Hadharah Islamiyyah kerana itu perkara kecil sahaja. Yang penting, umat Islam maju dan dipandang tinggi oleh orang lain. Kini Pak Lah dah undur dan Islam hadhari nampaknya berkubur.

Menjelang PRU 12, datang juga pegawai JASA anjurkan ceramah di masjid. Sebagai ahli jamaah, saya turut sama menadah telinga. Tajuk ceramah ialah `Sayang Di Sayang'. Maka berceritalah penceramah. Katanya, jika kita memandikan mayat, jangan ceritakan keburukan mayat tersebut kepada orang lain sekiranya ternampak aib sewaktu kerja-kerja memandikan jenazah. Islam melarangnya. Ulas penceramah lagi, jika orang mati pun dilarang sebut keburukannya, bagaimana pula dengan orang yang masih hidup ? Propaganda yang nak disampaikan ialah menolak parti politik yang dikatakan selalu memburuk-burukkan kerajaan sekarang semasa berkempen atau berceramah.

Dalam Berita Harian 20 Mei 2009, pegawai JASA juga menulis seumpamanya pegawai penerangan umno. "Terdidikah nafsu politik Nizar melalui tarbiyyah PAS", begitulah tajuknya. Beliau adalah Ketua Unit Komunikasi Media JASA.  Maka dilemparkan beberapa tuduhan terhadap YAB Nizar. Antara tuduhan tersebut, Nizar gagal menerima hakikat bahawa PR telah kehilangan majoriti di DUN berpandukan sifir 28 lawan 28 + 3. Penulis tersebut turut menulis bahawa antara tanda seseorang itu cintakan dunia ialah ia terlalu kuat merindui untuk menjadi pemimpin atau penguasa. Ayob juga menuduh bahawa Nizar hendak meraih populariti supaya dipilih sebagai Naib Presiden dalam pemilihan parti. Kata Ayob, itu semua agenda peribadi yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Islam.

Begitulah JASA yang cuba berjasa kepada kerajaan sekarang. Kalau betul JASA komited dengan ajaran Islam, perbetulkan dulu pemimpin kerajaan yang sedang memerintah. Rakyat akan mengikut agama pemimpin. Bagaimana rakyat nak dibawa menuju jalan yang lurus, sedangkan pemimpim negara mengajar seperti seekor ketam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan