Sabtu, 30 Mei 2009

BN mengintai peluang di Manek Urai

Sudah beberapa hari blog ini tidak poskan kiriman baru. Nasib baiklah terdapat beberapa komen baru diterima dari pengunjung. Terima kasih kerana tidak membiarkan blog ini sepi. Pada awal minggu, saya berada di Terengganu. Walaupun negeri itu diperintah oleh BN, kemajuan tidaklah seberapa. Saya tak dapat akses internet menerusi `portable broadband' kerana liputan yang lemah. Pada hujung minggu pula, saya berada di Kuala Lumpur dan aktiviti tamat sehingga lewat malam.

Semasa saya di KLCC, saya mengambil akhbar The Sun yang diedarkan secara percuma. Ada satu artikel yang menarik minat saya dan ada kaitan dengan tulisan saya sebelum ini mengenai perebutan kerusi di DUN Manek Urai. Artikel yang berjudul `People come first, always' ditulis oleh Terence Fernandez dalam kolum tetapnya `Down2Earth'.

Saya menekuni tulisan Terence yang bertugas sebagai timbalan editor (laporan khas dan siasatan) akhbar The Sun. Saya meneliti tulisan beliau semasa berada dalam LRT untuk perjalanan dari Stesen Putra ke Bandar Tasik Selatan (saya mengunjungi pemeran buku READ Malaysia di Mines Exibition & Convention Center yang bermula 29 Mei - 7 Jun 2009).

Menurut Terence, beliau telah ke Manek Urai sejak seminggu lepas. Waktu itu, SPR belum lagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Nampaknya banyak pihak yang berminat membuat tinjauan dan ramalan terhadap pilihan raya kecil ini termasuk akhbar The Sun. Sepanjang pengetahuan saya, akhbar ini tidak diedarkan di Lipis dan Manek Urai. Tetapi petugas media dihantar ke sana untuk mendapatkan berita.

Rumusan Terence mengenai selera pengundi, calon anak tempatan yang mesra dengan rakyat akan menjadi pilihan untuk menang. Beliau menulis: "As far as the voters are concerned, said a SB Officer, they would rather a candidate was from the constituency irrespective of which party he came from - as long as they are fimiliar with him".

Terence juga memberikan pandangan bahawa pilihan raya kecil itu nanti memberi peluang kepada rakyat mendapat perhatian dan habuan. Rumah boleh disewa sehingga mencecah RM3000 sepanjang tempoh berkempen. Peniaga kedai makan telah menerima `tender' membekalkan makanan kepada petugas parti. Mengenai perhatian berganda, beliau menulis: "Government departments are also working over time, getting themselves prepared - not so much as to serve the rakyat but to attend to the VIPs who will be helicoptered down to woo voters".

Menurut laporan berita online pada hari ini, Tok Pa yang disifatkan sebagai `Mr Clean' dan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil, meminta semua pihak supaya tidak memperkecilkan kekuatan Bn di Manek Urai. Ya, Bn memang bersungguh-sungguh untuk menang. Namun, seperti kata YB Mohd Amar, Pakatan Rakyat perlu mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas. Lawan tetap lawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan