Khamis, 25 Jun 2009

3 pimpinan Umno tumbang di tepi jalan

0
Kontijen PAS Pahang Barat (Raub-Cameron Highlands-Lipis) telah digantikan dengan gelombang baru di Manek Urai. Kami kembali semula ke Pahang untuk meneruskan tugas-tugas jemaah di kawasan masing-masing. Dalam perjalanan pulang, kami nampak beberapa papan kempen `gergasi' Umno tersungkur di tepi jalan. Alahai... kesiannya. Padanya tertera gambar Tok Jib-TS Muhyiddin-Tok Pa. Papan besar tersebut baru 2 hari dipasang oleh petugas Bn. Berderetan di sepanjang jalan besar dari Laloh ke Kuala Krai. Ada di kiri-kanan dan juga di simpang jalan.  "Rakyat Didahulukan, Manek Urai Diutamakan" - begitulah bunyi slogan yang tertera.  Semacam tak di restu oleh bumi. Ia tumbang selepas hujan.

Sebelum ini Umno-Bn menyifatkan bahawa PRK sebagai membazir. Namun, yang jelas di Manek Urai, mereka yang menabur banyak duit untuk memikat hati pengundi. Jumlah bendera mereka banyak. Saiz banner dan billboard adalah besar dan berwarna warni. Kontraktor dan anak-anak muda mendapat habuan `upah' memasang bahan-bahan kempen tersebut. 

Slogan 1 Malaysia dibuang begitu saja oleh penceramah Umno ketika berkempen kepada orang-orang kampung. Mereka masih mengamalkan politik lama yang berteraskan ugutan. Seorang penceramah wanita dari Perhubungan Umno (memperkenalkan diri sebagai Cikgu Norhayati Yaakob) berkata hanya Umno yang boleh selamatkan Melayu. Lantas dia menakutkan orang kampung bahawa `orang kito' disembelih oleh kaum lain di Malaysia Barat. Apakah ini bukan suatu hasutan ? Harap SB dapat hantar laporan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam ceramahnya juga, Cikgu Yati (mendakwa bekas ahli PAS) meminta supaya Tok Guru Nik Aziz tumpukan kepada mengajar agama, bukan sibuk berpolitik. Beri jawatan MB kepada orang lain. Oleh kerana Tok Guru `tinggal' tugas mengajar agama, maka banyak berlaku jenayah di Kelantan. Nampak sangat orang Umno masih memisahkan politik dan agama. Kepada Cikgu Yati, awak sendiri pun tak usahlah sibuk ceramah politik. Awak tu cikgu. Buka kelas tambahan kepada murid-murid. Kalau nak jumpa juga dengan orang kampung, buka je kelas dewasa. Baru bertepatan dengan `nasihat' awak kepada Tok Guru Nik Aziz.

Selasa, 23 Jun 2009

Tarbiah siasah di medan Manek Urai

0
Syukur kepada Allah yang masih menghidupkan kita semua. Kini, sudah 5 hari kami diberikan kesempatan bertugas di Manek Urai. Berguru secara langsung dengan orang-orang Kelantan yang diakui bijak mengendalikan kerja-kerja pilihan raya. Saya begitu kagum dengan Penghulu yang mengenali setiap isi rumah di kampung-kampung di bawah jagaannya. Peta lokaliti adalah lengkap. Culaan dibuat dengan dengan menyeluruh. Kerja-kerja kempen lebih berfokus kepada sasaran.

Bergaul dengan YB-YB Kerajaan Kelantan juga meninggalkan banyak kesan. Tok Guru berjaya melahirkan pimpinan yang bukan sahaja mesra rakyat tetapi rapat dengan Allah. Setiap kali ke masjid untuk qiamullail, saya dapati bahawa YB adalah antara orang yang sedang bermunajat. Mereka menunjukkan contoh. Mereka boleh menyampaikan kuliah dan menjadi imam sembahyang walaupun bukan seorang lulusan agama. Bacaan al-Quran juga bagus dari segi tajwidnya. Kuliah-kuliah Maghrib dan Subuh yang disampaikan termasuk dari kalangan pimpinan PAS Pahang begitu menyentuh jiwa. Kami kini semacam berada di sebuah madrasah tarbiah siasah.

Gerak kerja awal bertemu dengan para pengundi diteruskan oleh PR dan Bn. Seperti biasa Bn menawarkan janji pembangunan. Mereka tawarkan jambatan walaupun jambatan Sultan Yahya Petra ke 2 yang dijanjikan semasa PRK Pengkalan Pasir belum ditunaikan. Hanya `signboard' usang yang kelihatan di Kota Bharu. Mereka juga membawa slogan `pade doh 18 tahun' PAS memerintah Kelantan. Bagi Speaker Kelantan, YB Nasaruddin, 18 tahun jika dibandingkan dengan manusia, merupakan umur yang sangat muda. Berbanding dengan Bn yang sudah memerintah selama 52 tahun di Pusat - sudah terlalu lama. Umno juga menampal risalah di sana sini berhubung dengan kerjasama dengan orang kafir. Mereka mendakwa pimpinan PAS berbohong. Dulu kata tak boleh, kini boleh. Begitulah Umno yang suka membangkitkan `fitnah yang sedang tidur'. Mereka perlu belajar agama tentang siasah syariyyah dan tahaluf  siasi sebelum cuba menjadi `pejuang agama'.

Ahad, 21 Jun 2009

Sentuhan mesra di Manek Urai

0
Kami kini berada di Manek Urai. Hadir sebagai petugas kempen sebagaimana yang diarahkan oleh pimpinan parti. Dalam perjalanan, saya menceritakan perihal seorang timbalan menteri kabinet Bn yang datang menoreh getah di Manek Urai untuk menunjukkan bahawa Umno mesra rakyat. Jawab seorang aktivis, apa perlu seorang Pak Menteri turun menoreh. Tugas mereka yang lebih aula pada waktu ini ialah membantu rakyat dengan menurunkan harga barang. Bukan turun berlakon.

Kami sampai di Manek Urai dengan disambut oleh petugas lain yang lebih awal tiba. Perang bendera sudah bermula. Apa yang menarik dalam kempen PRK kali ini ialah kedua-dua belah pihak ingin bermesra dengan pengundi. Seorang aktivis setempat mengingatkan kami supaya tidak lagi `memerah limau' ke atas orang-orang Umno. Mereka telah cukup pedih. Yang mereka perlukan sekarang ialah sentuhan untuk mendekatkan mereka kepada perjuangan Islam.

Usah lagi menggunakan sumpah seranah dan kata nista. Jangan gunakan strategi kekerasan dan pertembungan. Mereka adalah sasaran dakwah yang perlu didekati, bukan dijauhi. Pengundi lebih senang dengan jalinan ukhuwah yang hangat dan matang. Mereka akan membuat pilihan yang bijak pada hari pembuangan undi tanpa ugutan dan tekanan.

Kami sebagai petugas awal diarahkan menyediakan keperluan-keperluan yang bakal digunakan oleh para petugas yang akan datang kemudian. Kami bergotong royong di markas, menyediakan penunjuk arah dan mengenal pasti rumah-rumah penduduk setempat. Di masjid, program-program disusun supaya ia hidup. Kuliah Maghrib, qiamullail dan tazkirah Subuh dijalankan di kalangan petugas yang kian bertambah.

Di kalangan muslimat, mereka mengadakan ziarah, munajat dan bacaan Yaasin. Selepas majlis, mereka berpelukan dengan penuh semangat kekeluargaan. Ada di kalangan penduduk yang begitu tersentuh dengan belaian tersebut dan menitiskan air mata. Semoga para pengundi lembut hati untuk memilih calon PAS. Kami para petugas akan pastikan mereka akan `menoreh' Umno dengan luka yang parah.

Jumaat, 19 Jun 2009

Manfaatkan hasil bumi untuk rakyat

0
Rakyat di negeri Pahang diseru supaya membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan Bn yang telah memerintah negeri ini sejak 52 tahun yang lalu. Demikian seruan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal sewaktu berceramah di Kg. Telok Gunung. Beliau mempersoalkan sejauh manakah kebijaksanaan para pemimpin tersebut dalam menguruskan khazanah dan hasil bumi.

Katanya, negeri ini mempunyai kekayaan balak dan bijih emas namun ia tidak memberikan kesejahteraan yang ketara kepada rakyat. Tambah malang lagi, kerajaan negeri Pahang kini telah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar saman ganti rugi kepada sebuah syarikat pembalakan dan rakyat akan menanggung beban bayaran tersebut.

Sementara itu, Pemuda PAS Lipis telah membuat beberapa tinjauan berdasarkan aduan rakyat. Di Empang Jaleh, Kuala Lipis didapati kerja-kerja mengeluarkan balak sedang rancak dilakukan. Terdapat timbunan kayu balak yang sedia untuk dibawa keluar (rujuk gambar). Sementara itu, di Kg. Chegar Perah, Kuala Lipis dikatakan terdapat usaha oleh pihak tertentu untuk mengeluarkan balak di kawasan penempatan PPRT.

Sejauh manakah rakyat telah mendapat manfaat dari projek pembalakan dan perlombongan emas di negeri Pahang ? Para pemimpin tertentu diingatkan supaya jangan terlalu rakus mengumpul kekayaan dengan melupakan rakyat  yang masih  miskin dan memerlukan. Rakyat juga tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan supaya khazanah alam dan hasil bumi dapat diuruskan secara bijaksana untuk kebaikan semua.

Balak

Khamis, 18 Jun 2009

PAS Lipis Sampaikan Khairat Kematian

0
Majlis menyampaikan sumbangan wang khairat kematian kepada waris almarhum Hj. Abu Hassan Mohamed telah disempurnakan oleh YDP PAS Lipis, Ustaz Hj. Ishak Sat. Penyampaian telah dilakukan sebaik sahaja selesai menguruskan pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kg. Relong.

Sumbangan pendahuluan tersebut diterima sendiri oleh balu almarhum dan diperhatikan oleh anak-anak beliau. Wang khairat kematian adalah manfaat daripada Skim Takaful Berkelompok yang diuruskan oleh Badan Perhubungan PAS Pahang dengan kerjasama Takaful Etiqa. Ia merupakan sebahagian daripada program kebajikan yang boleh disertai oleh ahli mahupun bukan ahli PAS.

Takafulabu

PAS Kawasan Parlimen Lipis ingin merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Hj. Abu Hassan Mohamed. Semoga tabah menghadapi sedikit ujian daripada Allah Azza Wajalla. Al-Fatihah.

Selamat Jalan Saudaraku Hj. Abu Hassan

9
AbuHassanJenazah almarhum Hj. Abu Hassan Mohamed (1952-2009) telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Relong, Kuala Lipis pada 11.30 pagi (18. 06. 09).  Tazkirah dan talkin telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau mengingatkan semua yang hadir bahawa kematian bukanlah kesudahan penghidupan. Ia merupakan satu proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim juga meminta kepada semua yang hadir supaya mengambil iktibar bahawa jasad setiap kita juga akan dikebumikan pada suatu hari nanti. Maka, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi saat tersebut dengan melakukan amal soleh.

Terdahulu, jenazah telah disembahyangkan di rumah almarhum Hj. Abu Hassan pada pukul 10.30 pagi, yang diimamkan oleh Ketua Urusan Ulama', Ustaz Hj. Muhyiddin. Turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungan, Roslan Zainal, Setiausaha Pemuda, Ustaz Junaidi dan tokoh korporat Dr. Abdul Wahab. Turut serta menyembahyangkan jenazah ialah YDP PAS Lipis, Ust. Ishak Sat; YDP PAS Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Ludin dan YDP PAS Raub, Dr. Mohamad Nilam.

PAS Kawasan Parlimen Lipis telah kehilangan seorang aktivis yang gigih dan komited dalam perjuangan Islam. Semoga rohnya berbahagia di sisi Allah di alam persinggahan. Selamat jalan saudaraku.... Al-Fatihah.

SU PAS Lipis Kembali Ke Rahmatullah

0
Setiausaha PAS Kawasan Parlimen Lipis, Allahyarham Hj. Abu Hassan Hj Mohamed, 57, telah kembali ke rahmatullah malam tadi (17 Jun 2009). Mengikut maklumat yang diterima, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daerah Lipis selepas mengadu sakit dada. Al-fatihah.

Beliau dilahirkan pada 8 Julai 1952 dan kembali menetap di Kg. Relong, Kuala Lipis selepas bersara dari RTM pada tahun 2004. Allahyarham kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri sebagai agen takaful (Agensi Ar-Rawa) di bangunan MARA, bersebelahan stesen keretapi Kuala Lipis.

Antara program parti terakhir bersama beliau ialah menghadiri Mesyuarat PAS Kawasan Parlimen Lipis pada 13 Jun 2009. Terdahulu, kami bersama beliau menjalankan usrah di Kg. Tain/Petola, Kuala Lipis. Semasa sesi taaruf, Allahyarham memakmumkan bahawa beliau mempunyai 4 orang cahaya mata.

Pada waktu Zohor semalam, beliau menunaikan solat berjamaah di Madrasatul Firdaus (Masjid Lama Kuala Lipis). Beliau kelihatan sihat dan memaklumkan kepada saya untuk menguruskan kebenaran polis (permit) bagi ceramah Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di Kg. Telok Gunung pada hari ini (18 Jun 2009).

Saya sempat hadir ke pejabat beliau di bangunan MARA. Beliau mahu memberikan perisian jawi tetapi saya tidak membawa Pendrive. Beliau menunjukkan kepada saya slogan `Islam Memimpin Perubahan' yang telah ditaip dengan menggunakan tulisan jawi. Tiada tanda-tanda bahawa beliau akan meninggalkan kami.

Selepas solat Isyak, kami dikejutkan dengan deringan telefon dan SMS dari ahli keluarga beliau dan para sahabat seperjuangan, yang memaklumkan bahawa beliau baru sahaja dijemput mengadap ke hadrat Ilahi. Inna lillahi Wa  Inna Ilaihi Rajiuun. Kami bersegera ke hospital. Dalam perjalanan, seorang sahabat memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di Kg. Relong.

Bersama sanak-saudara, para penduduk dan hadirin-hadirat, majlis bacaan Yaasin dan tahlil telah disempurnakan di rumah beliau pada malam tadi. Saya sempat melihat wajahnya yang tenang. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama para syuhada' dan golongan solihin. Amim ! Ya Rabbal 'Alamin.

Jumaat, 12 Jun 2009

Memastikan Umno terburai di Manek Urai

0
Selepas tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Umno kini dikatakan sedang menyusun strategi baru untuk memenangi hati pengundi di Manek Urai. Mereka sanggup berubah menjadi `khadam' rakyat. Menerusi slogan `KBSM' mereka akan muncul bersama rakyat sekiranya ada kenduri (K), bersalin (B), sakit (S) dan mati (M). Kesungguhan mereka meliputi semua waktu samada pagi-petang dan siang-malam.

Ketua Dewan Ulama' PAS, YB Dato' Harun Taib mengingatkan petugas PAS/PR supaya tidak berputus harap dalam meraih undi daripada orang-orang Umno. Beliau sempat berkongsi beberapa cerita di Stadium Malawati tempoh hari. Pertama, perihal seorang wanita umno yang tegar. Hidup-mati bersama parti dacing dan keris. Namun, kesungguhan wakil PAS telah berjaya mendapat satu undi dari wanita tersebut dengan hanya melemparkan senyuman sewaktu bertemu di pintu masuk tempat mengundi.

Kedua, perihal seorang pak cik yang boleh dianggap sebagai Umno totok. Hatinya sebiru dacing. Jika ada perayu undi PAS datang ke rumahnya, lantas ditutup pintu. Tak beri peluang ! Namun, ada petugas PAS yang bersungguh. Beliau nampak di hadapan rumah pak cik tersebut terdapat pohon nangka yang sedang berbuah. Masih muda lagi. Datanglah beliau ke rumah pak cik dan memberitahu bahawa dia  hendak membeli buah nangka tersebut setelah masak nanti.

Selang seminggu datang lagi. Nangka memang belum masak tapi puji pak cik bahawa baka nangkanya adalah baik. Jangan lupa untuk beritahu bila sudah masak. Beberapa minggu kemudian datang lagi. Kali ini, pak cik dah tak berbulu dengan aktivis PAS. Pintu rumah di buka dan dibuat kopi. Menurut pembawa cerita, sementara menunggu tempoh nangka masak, pak cik telah terbuka hati untuk masuk PAS.

Medan di Manek Urai adalah terbuka kepada bakal YB. Segala ramuan perlu diadun bagi memikat selera pengundi. Misi besar PR ialah memastikan Umno terburai di Manek Urai dengan score card 6 - 0. Insya'allah.

Kuliah/Ceramah Setempat

0
Berikut adalah beberapa program kuliah/ceramah setempat di Parlimen Lipis & Cameron Highlands. Anda dijemput hadir dan tolong hebahkan:

1] Kuliah aqidah bulanan oleh Ust. Junaidi di Markas Tempoyang, Lipis pada 13 Jun 2009, mulai solat Maghrib. Kitab: Muqaddimah Aqidah Muslimin.

2] Kuliah tajwid mingguan oleh Ust. Abd. Rahman di Markas Bapong (hari Khamis) dan di Markas Berchang (hari Sabtu). Kuliah bermula selepas solat Maghrib.

3] Ceramah umum oleh Sdr. Mohamad Sabu di Markas Sg. Koyan Satu pada 13 Jun 2009, selepas Isyak. Jamuan makan tengahari di Darul Hidayah pada hari yang sama.

4] Ceramah perdana oleh Ybh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Sdr. Roslan Zainal al-Ahmadi di Kg. Telok Gunung (berhampiran markas PAS) pada 18 Jun 2009, selepas Isyak.

Sila hadir hadir beramai-ramai. Wassalam.

Sabtu, 6 Jun 2009

Bersolat di negeri maju

0
Sempena muktamar PAS ke 55 dari 5 - 7 Jun 2009, kami menginap di Seksyen 13, Shah Alam. Pada keheningan pagi 5 Jun, kami berjalan kaki menuju ke Surau Munawwarah pada jam 5.30 pagi. Sudah ramai ahli jamaah yang sedang menunggu azan subuh. Terdapat ramai juga musafir lain yang menjadikan surau tersebut sebagai tempat berehat (tidur). Saya dapati ada yang tidak menjaga adab-adab tidur di rumah Allah. Alas tidak digunakan dan mereka tidur tanpa berbaju di atas karpet surau. Saya sempat mengejutkan beberapa orang yang masih belum terjaga.

Surau Munawwarah telah dinaikkan taraf menjadi tempat mendirikan solat Jumaat. Dewan solat utama dilengkapi dengan penghawa dingin. Pagi itu, imam membacakan surah as-Sajadah. Dalam tempoh solat Subuh yang panjang tersebut, 3 kali konsentrasi solat terganggu dengan deringan panggilan telefon bimbit. Papan tanda matikan handphone tertera jelas. Namun, kenapakah mereka ini tidak boleh tinggalkan sejenak handphone sewaktu mengadap Ilahi ?

Kemudiannya, kami ke Stadium Malawati untuk mengikuti Ucapan Dasar dan perasmian Muktamar ke 55. Saya agak kagum dengan kemampuan Tuan Guru Presiden yang menyampaikan ucapan dasar selama 1 jam 20 minit yang bertema Islam Memimpin Perubahan. Satu tempoh yang agak lama dan beliau mampu sempurnakan ucapan tersebut dengan penuh bersemangat.

Kami kembali semula ke Surau Munawwarah untuk Solat Jumaat. Jemaah yang hadir melimpah ruah. Sehinggakan air tidak mencukupi terutama di tandas dan tempat wudhuk. Dalam keterbatasan itu, kami teruja dengan khutbah yang disampaikan sendiri oleh Exco Kanan Kerajaan Selangor, Dato' Dr Hassan Ali. Intipati penting khutbah ialah mengajak semua yang hadir supaya mencintai Allah, Rasul dan Berjihad melebihi kecintaan yang lain seperti kecintaan terhadap keluarga, harta dan lain-lain.

Selepas sesi petang muktamar, kami bergerak ke Seksyen 7 pada jam 6.30 petang. Badan Perhubungan PAS Selangor mengadakan majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dalam perjalanan itu, kereta kami hampir dilanggar oleh sebuah kereta lain di sebuah roundabout. Syukur, Allah selamatkan kami. Kami tiba beberapa minit sebelum azan Maghrib. Kami bersolat Maghrib Isyak di surau yang turut dibina di kediaman rasmi tersebut. Surau itu juga berhawa dingin.

Kediaman rasmi Menteri Besar terletak di atas bukit. Kami boleh memandang panorama bandaraya Shah Alam. Kemudiannya, kami masuk ke Dewan Megawati, tempat jamuan diadakan. Tan Sri Khalid bermurah hati menyediakan makan malam berlauk daging rusa. Semasa ucapan aluan, Timbalan Presiden berseloroh bahawa sebelum ini kecoh semasa Tan Sri agihkan lembu korban. Harapnya, daging rusa yang dihidangkan kepada perwakilan muktamar tidak menjadi isu politik.

Di negeri maju seperti Selangor, kemudahan solat yang disediakan adalah bertaraf 5 bintang. Namun, usaha perlu digerakkan supaya surau dan masjid diimarahkan. Semua perlu memainkan peranan dalam usaha menyedarkan penduduk di negeri maju ini dan juga di tempat lain supaya rumah Allah sentiasa makmur dan ramai para jamaahnya.

Jumaat, 5 Jun 2009

Forum di perkarangan stadium

0
Sempena Muktamar ke 55, satu forum agama telah diadakan di perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam pada 4 Jun 2009. Forum yang bertajuk `Islam Memimpin Perubahan' membariskan 3 panel iaitu Ustaz Nik Zawawi Salleh, YB Khalil Idham Lim dan YB Dato' Dr. Hassan Ali.

Selaku ahli panel yang pertama, Ustaz Nik Zawawi menegaskan bahawa ideologi ciptaan manusia tidak menjamin kesejahteraan sebenar. Tambahan pula, tiada ideologi yang benar-benar mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Manusia diciptakan oleh Allah. Maka, Allah juga yang tunjukkan penyelesaian terhadap masalah manusia dengan sistem Islam.

Tambah beliau, sistem Islam menyelesaikan masalah manusia dengan hebat. Di kala wanita di pandang rendah, Islam mengangkat martabat wanita. Ketika manusia membezakan darjat, Islam menegaskan bahawa orang yang terbaik di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa, samada orang miskin atau kaya.

Ahli panel ke-2, YB Khalil Idham Lim melahirkan rasa syukur kerana kita tidak memilih bangsa sebagai asas perjuangan. Beliau menegaskan, walaupun seseorang itu berbangsa Arab seperti Nabi Muhammad SAW, tetapi jika menolak Islam, mereka tidak selamat. Beliau menyindir golongan yang mendakwa Melayu itu Islam sedangkan terdapat ramai orang Melayu yang tidak amalkan ajaran Islam.

Ahli panel ke 3, menyifatkan bahawa Malaysia mempunyai sumber yang terbaik untuk laksanakan Islam. Ada ramai mufti dan banyak jabatan agama. Di negara besar seperti Mesir dan Saudi, hanya mempunyai seorang mufti. Di Malaysia, terdapat 14 orang mufti. Namun, oleh kerana sebelum ini mereka yang diberikan kuasa tidak berhasrat mendaulatkan Islam, pencapaian Islam tidak membanggakan, Katanya, Selangor kini sedang menggerakkan semua institusi agama termasuk menggandakan usaha bagi memakmurkan sepenuhnya masjid-surau.

Khamis, 4 Jun 2009

Bermuhasabah di Stadium Malawati

0
Bersama dengan perwakilan, kami berkereta meninggalkan bandar Lipis pada jam 2.15 petang. Sebaik sahaja memasuki daerah Gombak, bendera PAS dilihat mewarnai tiang-tiang elektrik di sepanjang jalan. Kami memilih untuk melalui jalan Kg. Melayu Subang, sebelum tiba di Stadium Shah Alam pada jam 5.15 petang menerusi tol Bukit Jelutong.

Dengan bantuan dari petugas Amal, kami mendaftar dan mendapatkan pas rasmi Muktamar ke 55. Mesra dan lancar. Kesempatan masa yang masih banyak berbaki, kami meninjau gerai-gerai jualan dan makan malam. Nasi gulai kawah yang kami makan berharga RM6.00 sepinggang. Agak mahal bagi kami yang kurang berada.

Bersama dengan perwakilan dari seluruh negara, kami akan mengikuti ucapan dasar pada 5 Jun 2009. Prestasi parti akan dimuhasabah. Kami akan mengikuti muktamar dengan penuh amanah dan akan menyampaikan rumusan-rumusan penting kepada ahli-ahli di Lipis. Kami bukan datang untuk misi cuti-cuti Malaysia. Kami mahu PAS terus cemerlang selaras dengan slogan PAS For All.

1 Malaysia Yang Gempar

0
Ia bukan lagi slogan. Bukan impian, tetapi suatu kenyataan. Malaysia memang satu dan 1 Malaysia kini gempar dengan pencapaian yang luar biasa. Terbaru, 1 Malaysia gempar apabila dikejutkan dengan kejadian bumbung stadium di Gong Badak runtuh. Stadium yang menggunakan wang rakyat sebanyak RM292 juta dan baru dirasmikan pada 10 Mei 2008 runtuh 50% bumbungnya.

Mengikut rekod, ia mula dibina pada tahun 2005 semasa dinasti Idris Jusoh (merampas kerajaan Islam Terengganu). Dinasti itu berazam untuk memahat sejarah dengan memberikan pembangunan yang tidak pernah dilihat oleh rakyat. Nah !, kini memang memahat sejarah apabila sebuah bangunan stadium yang canggih runtuh dalam keadaan bayu Laut China Selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Piramid di Mesir tersenyum melihat kualiti binaan abad 21.

1 Malaysia turut terkejut melihat gambar lelaki yang dipasang rantai pada leher. Ia bukanlah peristiwa di kem tahanan politik. Memang di kem tahanan politik berlaku penyiksaan seperti yang ditulis oleh bekas-bekas tahanan seperti YB Shaari Sungib, Shuhaimi Said dan Dr Syed Hussin Ali. Tapi gambar ini merupakan tahanan dalam rumah kedai di Selangor. Mereka adalah mangsa ah long. Asalnya nak menolong, akhirnya melolong.

Rakyat 1 Malaysia kini mengharapkan pertolongan terus dari Yang Maha Pencipta. Musibah apakah yang sedang menimpa kami di bumi. Kami berada di dalam ketakutan. Di jalanan ada samseng dan peragut. Hantar anak ke sekolah, makmal komputer runtuh. Pergi ke pejabat kerajaan, siling runtuh. Balik ke rumah, pencuri memecah masuk. Pergi ke tempat kerja, kilang pula tutup. Ya Allah, bantulah kami 1 Malaysia. Turunlah rahmat dari sisi-Mu walaupun tugas sebagai khalifah belum kami sempurnakan sepenuhnya. Amin ! Ya Rabbal 'Alamin....

Rabu, 3 Jun 2009

Hujan emas di Manek Urai

0
Manek Urai tiba-tiba menjadi terlalu istimewa. Ia menjadi sebutan dan perhatian para menteri. Para penduduk di Laloh, Lata Rek, Chuchuh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru kini seolah-olah menerima hujan emas.

Akhbar urus perdana menyiarkan gambar ketua penerangan umno beraksi sebagai seorang penoreh getah. Kononnya hendak selami kehidupan rakyat dan merasai perit jerih menyara keluarga. Saya ceritakan perkara ini kepada YDP PAS Lipis. Beliau begitu geli hati dan berharap batang getah tidak rosak gara-gara Umno nak mendapatkan undi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula meminta supaya gerakkan jentera di Manek Urai. Tapi, kita kena ingat. Jentera yang dimaksudkan tersebut bukan dari umno tapi milik kerajaan. Beliau meminta Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jabatan Penerangan dan RTM bergabung untuk mendasari hati penduduk (Sumber: UM, 3/6/09, ms 8).

Wahai pak menteri. Ramai lagi rakyat yang melarat di Malaysia ini. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, mereka juga perlukan perhatian. Mereka juga rakyat 1 Malaysia. Untuk mendapatkan 1 kerusi DUN, semua tumpuan hanya di tumpukan di Manek Urai. Kalau betul hendak selami kesusahan hidup rakyat, datanglah selepas pilihan raya nanti.

Membantu rakyat adalah bagus. Tetapi memberikan bantuan menjelang pilihan raya adalah mengesahkan bahawa bantuan itu bersifat `ada udang di sebalik mee'. Kepada penduduk Manek Urai, bersyukurlah dengan durian runtuh yang diterima. Tapi ingat, berilah undi kepada calon Pakatan Rakyat.

Selasa, 2 Jun 2009

Sianida dan tragedi di Miyamata

0
Akhbar hari ini melaporkan bahawa penduduk Kg Bukit Koman, gagal menghalang projek lombong emas di Raub. Ia adalah keputusan mahkamah terhadap permohonan oleh Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas. Jawatankuasa tersebut menuntut supaya syarikat Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd menyediakan Laporan Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment -EIA) yang baru (EIA terdahulu telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar).

Gagal dimahkamah bukan bermakna perjuangan penduduk tersebut suatu yang sia-sia. Ia membuktikan bahawa kesedaran terhadap kesan alam sekitar akibat perindustrian atau pembangunan yang tidak lestari kian meningkat. Oleh kerana sebelum ini saya ada poskan artikel mengenai perlombongan emas di Lipis, saya ingin berkongsi satu cerita `bencana' yang berpunca dari pencemaran bahan toksid.

Terdapat 2 kejadian besar yang sering disingkap oleh aktivis alam sekitar iaitu tragedi di Miyamata, Jepun dan Love Canal, di Eropah. Dalam kesempatan ini, saya cuma hendak imbas malapetaka yang telah menimpa penduduk Miyamata. Difahamkan bahawa suatu waktu dahulu, terdapat perlombongan logam raksa di pinggir laut Miyamata. Tiada sesiapa menjangka bahawa suatu musibah bakal menimpa generasi baru di sana.

Dilaporkan bayi-bayi yang lahir adalah dalam keadaan cacat dan tidak sempurna kejadian. Tumbesaran mereka juga terbantut. Selepas kajian dilakukan, pakar mengesahkan bahawa ibu bapa mereka telah termakan ikan yang keracunan raksa, yang ditangkap di tapak bekas lombong tersebut. Kerajaan Jepun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai kos perubatan mereka yang terlibat. Miyamata  kini dijadikan sebagai kawasan peringatan (Yayasan Miyamata) terhadap bahaya pencemaran bahan toksid.

Di Empang Jaleh, kini dijalankan ternakan ikan air tawar. Di samping itu, pencari etak masih ramai yang datang untuk mencari rezeki. Kawasan ini yang berdekatan dengan lombong emas Penjom perlu dipastikan selamat dari pelepasan atau tumpahan bahan kimia berbahaya. Semoga Allah SWT jauhkan Empang Jaleh dari menjadi `Miyamata 2'.

Isnin, 1 Jun 2009

Tanpa Bn, pilihan raya sangat aman

0
Bersama YDP, kami menginap di Hotel Wali, bandar Chukai. Ada urusan penting di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), cawangan Timur yang terletak di Taman Chukai Utama. Sementara menunggu azan Subuh, saya sempat meneliti berita-berita yang tertera di akhbar yang berada di lobi hotel.

Berita pilihan yang saya nak kongsi bertajuk `Pilihan raya kecil paling aman'. Kenyataan di atas dikeluarkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob sempena PRK Penanti. Sewaktu ditanya oleh pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam, Datuk Ayub berkata: "Keadaan aman dan terkawal dan ini adalah PR kecil paling aman".

Terang lagi bersuluh. Keadaan tegang semasa pilihan raya adalah angkara provokasi Be End. Tanpa ugutan dan tekanan mereka, rakyat dapat melaksanakan tugas sebagai pemilih dengan lancar. Polis sendiri tidak perlu berkampung dengan jumlah yang luar biasa. Mereka boleh jaga keselamatan di kawasan kerja masing-masing. Juga, duit rakyat tak habis berjuta ringgit.

Jika polis dah buat peristiharan bahawa PR kecil aman tanpa kehadiran Be End, maka fahamlah kita siapa sebenarnya yang mencetuskan ketegangan. Usah lagi menuduh Pakatan Rakyat yang cetuskan suasana panas sepanjang berkempen dan merayu undi.

Kembali ke masjid, surau

0
Komen seorang pengunjung blog ini mengenai kehadiran solat berjemaah sebagai faktor kemenangan perjuangan Islam wajar diberikan perhatian. Sebelum ini, Tn. Hj. Subky A. Latif pernah memperkatakan perkara yang sama dalam tulisannya di akhbar. Masing-masing meletakkan penanda aras kehadiran solat berjamaah waktu subuh menyamai solat Jumaat sebagai saat akan tiba kemenangan Islam.

Sebagai seorang muslim, kita perlu berjuang supaya Islam kembali berdaulat. Samada saat tibanya kemenangan itu, kita masih hidup atau pun telah mati bukanlah suatu yang penting. Ini kerana, kita bukan orang yang memulakan perjuangan ini dan bukan pula orang yang mengakhirinya. Namun, kita yang beriman dengan al-Quran tetap yakin bahawa kesudahan hayat bumi berakhir dengan kemenangan Islam.

Dalam perjalanan ke Kemaman pada hari ini, saya bersama YDP bersolat Zohor-Asar di Masjid Kerambit. Masya'allah. Hanya seorang sahaja yang hadir di masjid itu selain kami berdua. Beliaulah yang mengalunkan azan dan menjadi imam. Kami tak pasti, siapakah yang akan menjadi makmum jika kami tidak singgah bersolat berjamaah. Kalau begini keadaannya, tak usah nak dibandingkan dengan solat Subuh.

Saya mendapati kebanyakan masjid di daerah Lipis tidak diimarahkan dengan majlis ilmu. Program yang masih dikekalkan hanya membaca Yaasin pada malam Jumaat. Apakah benar hipotesis seeorang kawan bahawa Be End memang suka tiada majlis ilmu di masjid atau surau daripada membenarkan program ceramah dan tazkirah yang membawa kepada kesedaran Islam dan menyokong gerakan Islam seperti PAS ?

Saya acap kali singgah di masjid-masjid di Kelantan. Kehadiran makmumnya adalah membanggakan. Ada pula kuliah selepas solat. Ketika sampai di bandar Chukai, kami menunaikan solat Maghrib-Isyak di Masjid Jamek Chukai. Syabas ! Ada kuliah Maghrib disampaikan oleh seorang ustaz yang masih muda.

Marilah kita kembali menghidupkan sunnah Nabi dengan mendirikan solat secara  berjemaah samada di masjid, surau, musolla atau lain-lain tempat. Usah terlalu menuding jari terhadap kesalahan orang lain. Bagaimana dengan kita sendiri ? Sudahkah kita `masuk Islam sepenuhnya' ?