Isnin, 1 Jun 2009

Kembali ke masjid, surau

Komen seorang pengunjung blog ini mengenai kehadiran solat berjemaah sebagai faktor kemenangan perjuangan Islam wajar diberikan perhatian. Sebelum ini, Tn. Hj. Subky A. Latif pernah memperkatakan perkara yang sama dalam tulisannya di akhbar. Masing-masing meletakkan penanda aras kehadiran solat berjamaah waktu subuh menyamai solat Jumaat sebagai saat akan tiba kemenangan Islam.

Sebagai seorang muslim, kita perlu berjuang supaya Islam kembali berdaulat. Samada saat tibanya kemenangan itu, kita masih hidup atau pun telah mati bukanlah suatu yang penting. Ini kerana, kita bukan orang yang memulakan perjuangan ini dan bukan pula orang yang mengakhirinya. Namun, kita yang beriman dengan al-Quran tetap yakin bahawa kesudahan hayat bumi berakhir dengan kemenangan Islam.

Dalam perjalanan ke Kemaman pada hari ini, saya bersama YDP bersolat Zohor-Asar di Masjid Kerambit. Masya'allah. Hanya seorang sahaja yang hadir di masjid itu selain kami berdua. Beliaulah yang mengalunkan azan dan menjadi imam. Kami tak pasti, siapakah yang akan menjadi makmum jika kami tidak singgah bersolat berjamaah. Kalau begini keadaannya, tak usah nak dibandingkan dengan solat Subuh.

Saya mendapati kebanyakan masjid di daerah Lipis tidak diimarahkan dengan majlis ilmu. Program yang masih dikekalkan hanya membaca Yaasin pada malam Jumaat. Apakah benar hipotesis seeorang kawan bahawa Be End memang suka tiada majlis ilmu di masjid atau surau daripada membenarkan program ceramah dan tazkirah yang membawa kepada kesedaran Islam dan menyokong gerakan Islam seperti PAS ?

Saya acap kali singgah di masjid-masjid di Kelantan. Kehadiran makmumnya adalah membanggakan. Ada pula kuliah selepas solat. Ketika sampai di bandar Chukai, kami menunaikan solat Maghrib-Isyak di Masjid Jamek Chukai. Syabas ! Ada kuliah Maghrib disampaikan oleh seorang ustaz yang masih muda.

Marilah kita kembali menghidupkan sunnah Nabi dengan mendirikan solat secara  berjemaah samada di masjid, surau, musolla atau lain-lain tempat. Usah terlalu menuding jari terhadap kesalahan orang lain. Bagaimana dengan kita sendiri ? Sudahkah kita `masuk Islam sepenuhnya' ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan