Khamis, 4 Jun 2009

1 Malaysia Yang Gempar

Ia bukan lagi slogan. Bukan impian, tetapi suatu kenyataan. Malaysia memang satu dan 1 Malaysia kini gempar dengan pencapaian yang luar biasa. Terbaru, 1 Malaysia gempar apabila dikejutkan dengan kejadian bumbung stadium di Gong Badak runtuh. Stadium yang menggunakan wang rakyat sebanyak RM292 juta dan baru dirasmikan pada 10 Mei 2008 runtuh 50% bumbungnya.

Mengikut rekod, ia mula dibina pada tahun 2005 semasa dinasti Idris Jusoh (merampas kerajaan Islam Terengganu). Dinasti itu berazam untuk memahat sejarah dengan memberikan pembangunan yang tidak pernah dilihat oleh rakyat. Nah !, kini memang memahat sejarah apabila sebuah bangunan stadium yang canggih runtuh dalam keadaan bayu Laut China Selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Piramid di Mesir tersenyum melihat kualiti binaan abad 21.

1 Malaysia turut terkejut melihat gambar lelaki yang dipasang rantai pada leher. Ia bukanlah peristiwa di kem tahanan politik. Memang di kem tahanan politik berlaku penyiksaan seperti yang ditulis oleh bekas-bekas tahanan seperti YB Shaari Sungib, Shuhaimi Said dan Dr Syed Hussin Ali. Tapi gambar ini merupakan tahanan dalam rumah kedai di Selangor. Mereka adalah mangsa ah long. Asalnya nak menolong, akhirnya melolong.

Rakyat 1 Malaysia kini mengharapkan pertolongan terus dari Yang Maha Pencipta. Musibah apakah yang sedang menimpa kami di bumi. Kami berada di dalam ketakutan. Di jalanan ada samseng dan peragut. Hantar anak ke sekolah, makmal komputer runtuh. Pergi ke pejabat kerajaan, siling runtuh. Balik ke rumah, pencuri memecah masuk. Pergi ke tempat kerja, kilang pula tutup. Ya Allah, bantulah kami 1 Malaysia. Turunlah rahmat dari sisi-Mu walaupun tugas sebagai khalifah belum kami sempurnakan sepenuhnya. Amin ! Ya Rabbal 'Alamin....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan