Selasa, 2 Jun 2009

Sianida dan tragedi di Miyamata

Akhbar hari ini melaporkan bahawa penduduk Kg Bukit Koman, gagal menghalang projek lombong emas di Raub. Ia adalah keputusan mahkamah terhadap permohonan oleh Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas. Jawatankuasa tersebut menuntut supaya syarikat Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd menyediakan Laporan Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment -EIA) yang baru (EIA terdahulu telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar).

Gagal dimahkamah bukan bermakna perjuangan penduduk tersebut suatu yang sia-sia. Ia membuktikan bahawa kesedaran terhadap kesan alam sekitar akibat perindustrian atau pembangunan yang tidak lestari kian meningkat. Oleh kerana sebelum ini saya ada poskan artikel mengenai perlombongan emas di Lipis, saya ingin berkongsi satu cerita `bencana' yang berpunca dari pencemaran bahan toksid.

Terdapat 2 kejadian besar yang sering disingkap oleh aktivis alam sekitar iaitu tragedi di Miyamata, Jepun dan Love Canal, di Eropah. Dalam kesempatan ini, saya cuma hendak imbas malapetaka yang telah menimpa penduduk Miyamata. Difahamkan bahawa suatu waktu dahulu, terdapat perlombongan logam raksa di pinggir laut Miyamata. Tiada sesiapa menjangka bahawa suatu musibah bakal menimpa generasi baru di sana.

Dilaporkan bayi-bayi yang lahir adalah dalam keadaan cacat dan tidak sempurna kejadian. Tumbesaran mereka juga terbantut. Selepas kajian dilakukan, pakar mengesahkan bahawa ibu bapa mereka telah termakan ikan yang keracunan raksa, yang ditangkap di tapak bekas lombong tersebut. Kerajaan Jepun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai kos perubatan mereka yang terlibat. Miyamata  kini dijadikan sebagai kawasan peringatan (Yayasan Miyamata) terhadap bahaya pencemaran bahan toksid.

Di Empang Jaleh, kini dijalankan ternakan ikan air tawar. Di samping itu, pencari etak masih ramai yang datang untuk mencari rezeki. Kawasan ini yang berdekatan dengan lombong emas Penjom perlu dipastikan selamat dari pelepasan atau tumpahan bahan kimia berbahaya. Semoga Allah SWT jauhkan Empang Jaleh dari menjadi `Miyamata 2'.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan