Sabtu, 9 Mei 2009

Memutuskan talian hayat umno

SabuAlhamdulillah, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan selepas ditangkap oleh polis atas tuduhan mengajak rakyat berkumpul di Perak untuk munajat. Abang Mat baru saja datang ke Lipis dan menyampaikan ceramah umum di Markas PAS Cawangan Kg. Gua.

Kampung Gua adalah kubu umno. Ia juga tempat asal Ketua Pemuda umno Pahang yang baru dilantik oleh KJ iaitu Abu Jimi. Namun, ceramah pada malam tersebut mendapat sambutan yang luar biasa. Pada malam itu, turut berceramah ialah Sofi Wahab, seorang jurutera muda yang berasal dari Lubuk Kulit, Lipis,  tetapi kini berkhidmat di Melaka. Menjadi Ketua Penerangan di negeri yang dikuasai oleh Ali `Ketam', yang partinya umum terlibat dengan politik wang sewaktu kempen pemilihan 2009.

Intipati penting ceramah Abang Mat ialah tentang 2 talian hayat umno di musim pilihan raya. Menurut beliau, talian hayat tersebut ialah undi pos dan juga undi peneroka. Ketelusan undi pos telah diperjuangkan oleh BERSIH. Rakyat pun sudah turun berarak ke istana negara tahun lepas. Ia perlu terus diperjuangkan memandangkan Menteri Pertahanan baru, Zahid Hamidi mahu mengadakan kem di setiap kawasan parlimen.

Talian hayat kedua ialah undi peneroka Felda. Di Pahang yang mempunyai banyak tanah rancangan, perkara ini turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Semasa pilihan raya umum tahun lepas, harga getah dan sawit adalah tinggi. Umno menjaja ke segenap pelusuk tanah rancangan bahawa inilah kejayaan pimpinan mereka. Ditabur pula insentif dan bonus, seolah-olah itu duit umno. Sedangkan, ia adalah duit Felda hasil kerja keras semua peneroka sendiri.

Di kawasan Lipis, terdapat gugusan Felda Kechau, di samping Felda Plantation Sdn Bhd di mukim Telang. PAS cawangan Felda Kechau khususnya, PAS kawasan dan negeri amnya, perlu memecahkan tembok yang dibina oleh umno di tanah rancangan. Menurut mantan Ketua Penerangan PAS Lipis, Cikgu Hj Abu Bakar, peneroka agak takut untuk menerima risalah-risalah penerangan yang diedarkan. Teringat saya kepada Mazlan Aliman yang mengetuai ANAK. Ada baik juga menjemput beliau memberikan penerangan, di samping mengedar buku tulisan beliau: "Dulu tolong, kini along" yang merujuk kepada pengurusan Felda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan