Ahad, 31 Mei 2009

Di sebalik timbunan bijih emas di Lipis

1
Bersama dengan Pengerusi Majlis Nuqaba' MTD Padang Tengku dan mantan YDP PAS Kawasan Lipis, saya berkesempatan menziarahi ahli-ahli di Cawangan Kg. Petola/Tain. Sebelum majlis beramah mesra dimulakan, saya sempat berbual dengan Pak Long Omar dari Kg. Dada Kering. Saya bertanya, asal usul nama kampung tersebut. Pak Long menjelaskan susur galur nama itu dengan aktiviti melombong emas di Dada Kering suatu waktu dahulu.

Saya agak tertarik dengan kekayaan hasil bumi di Lipis. Selain Kg. Dada Kering, perlombongan emas juga pernah dijalankan di Kg. Kechau Mas, bersebelahan Kg. Kechor Tui. Kini, terdapat banyak tinggalan lombong di situ. Allah menganugerahkan begitu banyak emas di Lipis. Sehingga kini, perlombongan emas masih dijalankan di Penjom. Terbaru, saya difahamkan bahawa syarikat Monument Gold Mining memulakan perlombongan emas berdekatan dengan Kuala Medang.

Yang agak misteri ialah Lipis tidak maju sebagaimana tempat-tempat lain yang kaya dengan hasil bumi. Di Kuala Lumpur dan sekitar MINES Resort, kawasan bekas lombong itu begitu pesat membangun. Di Perak yang kaya dengan bijih timah juga sangat maju. Kenapa Lipis masih terkebelakang ?

Mengikut sejarah, sebelum British datang ke Lipis pada tahun 1887, Lipis sudah terkenal dengan perlombongan emas. Penjajah Inggeris berusaha gigih untuk campur tangan di Pahang bagi membolot emas tersebut. Seawal tahun 1886, Frank Swettenham dan Federick Weld yang merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat cuba memujuk Sultan Ahmad supaya menerima Residen British. Tapi tak berjaya.

British kemudiannya mendapat bantuan daripada Sultan Abu Bakar di Johor untuk memujuk Sultan Ahmad. Dengan kesungguhan itu, Hugh Clifford dilantik sebagai wakil British di Pahang. Pada tahun 1988, kematian seorang warganegara British berbangsa Cina bernama Go Hui telah diambil kesempatan oleh Inggeris untuk memaksa Sultan Pahang menerima seorang Residen dan terlantiklah J.P. Rodger sebagai Residen yang pertama di negeri ini (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu).

Berterusanlah untuk sekian lama, penjajah barat mengaut hasil bumi yang berupa emas di Lipis. Namun, emas tersebut tidak habis dan generasi baru sehingga kini masih lagi boleh bekerja di lombong emas di Penjom. Namun, Lipis sekadar menjadi bandar bersejarah. Kekayaan hasil buminya tidak membawa kepada perubahan ketara status ekonomi penduduk. Malah, pembandaran di Lipis juga agak perlahan. Siapakah sebenarnya yang mengaut keuntungan besar hasil dari perlombongan emas di Lipis ? Persoalan ini perlu dicarikan jawapan....

BN pupus di Lipis ?

0
Kini ramai penduduk Lipis yang merungut. Perlantikan PM baru yang merupakan anak kelahiran daerah ini belum menampakkan perubahan yang dikehendaki oleh orang ramai. Slogan rakyat didahulukan belum berpijak di bumi nyata. Mereka merungut tentang sukar untuk mendapatkan `khidmat BN'.

Saya membuat beberapa tinjauan untuk menyelami kesusahan rakyat. Saya bertemu dengan seorang peniaga yang sudah lama menjalankan kedai runcit di Padang Tengku. "BN dah tak ada lagi sekarang", jelas beliau. Kemudian, saya ke Kampung Bapong yang sebelum ini merupakan `kubu BN'. Mak cik yang mengusahakan perniagaan sejak sekian lama juga mengesahkan bahawa BN dah hilang.  Bagi mak cik ini, sepatutnya BN lebih banyak selepas Najib menerajui negara.

Kemudian, saya terus ke kedai Mesra Petronas di bandar Lipis. Selalunya mudah berjumpa dengan BN di sana. Semacam dilanda musibah, BN juga tiada di situ. Di Pasaraya Aktif pun tiada. Ke mana menghilang BN ? Semasa nak ke Manek Urai, saya singgah makan nasi kerabu berlauk ayam bakar di bandar lama Gua Musang. Yang saya agak terkejuk ialah banyaknya BN di bandar ini.

BN yang saya maksudkan ialah jenama beras 15% hancur iaitu Beras Nasional. Dalam kegawatan ekonomi sekarang, rakyat sepatutnya diberikan pilihan untuk membeli beras mengikut kemampuan mereka. Yang kaya, boleh membeli beras bergred tinggi dengan kadar kehancuran 5%. Yang berpendapatan sederhana, boleh memilih untuk membeli beras 10% hancur. Bagi golongan bawahan, tentulah beras 15% hancur menjadi pilihan.

Beras 15% hancur di akhir era Pak Lah dijual dengan harga RM17 sekampit (10 kg). Walaupun harganya boleh dinaikkan mengikut zon tertentu seperti yang tertera pada plastik pembungkus. Kemudian, naik RM18 sekampit. Di Gua Musang, harganya kini RM18.50. Dari pemerhatian saya, kualiti beras itu juga semakin rendah sejak akhir-akhir ini.

Menteri yang menjaga hak pengguna adalah orang Pahang. Mewakili penduduk yang berpendapatan rendah, kami memohon supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna bekerjasama dengan agensi yang berkenaan untuk memastikan beras 15% hancur mencukupi di kawasan Lipis dan tempat-tempat lain. Usah naikkan amarah rakyat sehingga mereka bertindak memberikan pukulan KO kepada kerajaan Be End dan terus pupus.

Sabtu, 30 Mei 2009

BN mengintai peluang di Manek Urai

0
Sudah beberapa hari blog ini tidak poskan kiriman baru. Nasib baiklah terdapat beberapa komen baru diterima dari pengunjung. Terima kasih kerana tidak membiarkan blog ini sepi. Pada awal minggu, saya berada di Terengganu. Walaupun negeri itu diperintah oleh BN, kemajuan tidaklah seberapa. Saya tak dapat akses internet menerusi `portable broadband' kerana liputan yang lemah. Pada hujung minggu pula, saya berada di Kuala Lumpur dan aktiviti tamat sehingga lewat malam.

Semasa saya di KLCC, saya mengambil akhbar The Sun yang diedarkan secara percuma. Ada satu artikel yang menarik minat saya dan ada kaitan dengan tulisan saya sebelum ini mengenai perebutan kerusi di DUN Manek Urai. Artikel yang berjudul `People come first, always' ditulis oleh Terence Fernandez dalam kolum tetapnya `Down2Earth'.

Saya menekuni tulisan Terence yang bertugas sebagai timbalan editor (laporan khas dan siasatan) akhbar The Sun. Saya meneliti tulisan beliau semasa berada dalam LRT untuk perjalanan dari Stesen Putra ke Bandar Tasik Selatan (saya mengunjungi pemeran buku READ Malaysia di Mines Exibition & Convention Center yang bermula 29 Mei - 7 Jun 2009).

Menurut Terence, beliau telah ke Manek Urai sejak seminggu lepas. Waktu itu, SPR belum lagi mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Nampaknya banyak pihak yang berminat membuat tinjauan dan ramalan terhadap pilihan raya kecil ini termasuk akhbar The Sun. Sepanjang pengetahuan saya, akhbar ini tidak diedarkan di Lipis dan Manek Urai. Tetapi petugas media dihantar ke sana untuk mendapatkan berita.

Rumusan Terence mengenai selera pengundi, calon anak tempatan yang mesra dengan rakyat akan menjadi pilihan untuk menang. Beliau menulis: "As far as the voters are concerned, said a SB Officer, they would rather a candidate was from the constituency irrespective of which party he came from - as long as they are fimiliar with him".

Terence juga memberikan pandangan bahawa pilihan raya kecil itu nanti memberi peluang kepada rakyat mendapat perhatian dan habuan. Rumah boleh disewa sehingga mencecah RM3000 sepanjang tempoh berkempen. Peniaga kedai makan telah menerima `tender' membekalkan makanan kepada petugas parti. Mengenai perhatian berganda, beliau menulis: "Government departments are also working over time, getting themselves prepared - not so much as to serve the rakyat but to attend to the VIPs who will be helicoptered down to woo voters".

Menurut laporan berita online pada hari ini, Tok Pa yang disifatkan sebagai `Mr Clean' dan dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil, meminta semua pihak supaya tidak memperkecilkan kekuatan Bn di Manek Urai. Ya, Bn memang bersungguh-sungguh untuk menang. Namun, seperti kata YB Mohd Amar, Pakatan Rakyat perlu mempertahankan kerusi tersebut daripada dirampas. Lawan tetap lawan.

Rabu, 27 Mei 2009

Perebutan kerusi DUN Manik Urai

2
Pilihan raya kecil DUN Manik Urai dijangka menarik. Bn yang sebelum ini bercakap nak jimatkan duit rakyat turut berminat untuk meletakkan calon. Walaupun telah berlangsung pilihan raya kecil di pantai timur iaitu Parlimen Kuala Terengganu, tetapi inilah kali pertama ujian di kawasan luar bandar.

Kawasan Manik Urai berada 22 km dari bandar Kuala Krai dan 88 km dari Kota Bharu Bandaraya Islam. Dari bandar Kuala Lipis, jaraknya ialah 215 km. Semasa tinjauan awal dibuat semalam, demam pilihan raya kecil belum bermula. Bendera baru parti belum dikibarkan. Di simpang ke Manik Urai Baru telah ada selonggok bendera PAS yang telah siap diikat pada batang buloh.

Saya berhenti membeli lemang berdekatan dengan simpang ke Chuchoh Puteri. Seorang wanita tampil membungkus 4 batang lemang yang masih panas dengan harga 10 ringgit dan bersama 2 pek manisan pencicah. Mak cik tersebut mengesahkan bahawa wakil rakyat baru meninggal.

Sehari dua ini pihak KESEDAR telah mula bermurah hati bagi menarik hati pengundi. Berdasarkan laporan Sinar Harian, telah diadakan majlis sumbangan untuk membantu golongan miskin. Kawasan ini juga mempunyai FELCRA. Namun, rakyat Kelantan adalah bijak berpolitik. Semoga para pengundi akan terus memberikan undi kemenangan kepada calon PAS yang mewakili PR. Insya'allah.

Ahad, 24 Mei 2009

Sambutan 25 tahun kepimpinan ulama'

1
Pada 28 Jamadil Awal 1430/23 Mei 2009, seawal jam 6.00 pagi kami bergerak menuju ke Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Kuala Lumpur. Turut serta ialah YDP, mantan YDP dan Ketua Urusan Ulama'. Kami menghadiri Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama'.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Mursyidul Am, Tn Guru Dato' Nik Abdul Aziz dan diikuti dengan Ucap Utama oleh Dato' Dr. Haron Din, bertemakan `Memperkukuh Kepimpinan Ulama'. Selepas persembahan multimedia, Dato' Hj. Mustaffa Ali dan Tn. Hj. Subky Latif telah menyampaikan pengkesahan sejarah 25 tahun kepimpinan ulama' PAS.

Tiga kertas kerja dibentang dan diulas oleh panel jemputan. Kertas kerja 1 bertajuk `Sumbangan dan Pengorbanan Ulama' dalam PAS' oleh Ust. Hassan Syukri. Diikuti dengan kertas kerja kedua berjudul `Ulama' Tonggak Kepimpinan PAS' oleh Dato' Abd. Halim Abd. Rahman.

Kertas kerja terakhir disampaikan oleh Dato' Harun Taib, bertajuk `Kepimpinan Ulama': Cabaran dan Masa Depan". Kemuncak majlis ialah penganugerahan Tokoh Kepimpinan Ulama kepada YAB Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz; pakar pengurusan organisasi PAS, Ust. Hassan Syukri; Pengarah Pilihanraya, Dato' Hj Mustaffa Ali dan pembentang usul kepimpinan ulama' semasa Muktamar 1982, Tn Hj. Subky Latif.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Presiden, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Turut dilancarkan pada hari tersebut ialah buku kompilasi `25 Tahun Kepimpinan Ulama'. Penyumbang utama karya ialah Ust. Idris Ahmad berdasarkan tesis PhD beliau.

Bagi Mursyidul Am, kepimpinan ulama' yang bermula secara rasmi dalam PAS pada tahun 1982 telah mempengaruhi cara bekerja, cara berpakaian yang Islamik dan membina etika yang menekankan aspek-aspek ubudiyyah, masuliyyah dan itqan (berkualiti dan professional). Presiden PAS pula menyifatkan bahawa PAS ditubuhkan hasil kesedaran untuk mendaulatkan Islam dengan pelopori oleh ulama'. Di antara pengasasnya ialah Tn Guru Hj Ahmad Fuad Hassan, Tn Guru Hj Hussin Che Dol, Tn Guru Hj Ahmad Tuan Hussin, Tn Guru Hj Muhammad Ghazali, Tn Hj Abdullah Abbas Nasution dan Hj Ahmad Maliki.

Sejarah juga membuktikan bahawa kemenangan pertama calon PAS dalam pilihanraya Persekutuan 1955 diperolehi oleh calon ulama' iaitu Tn. Guru Hj. Ahmad Tuan Hussin. Namun, pengukuhan PAS adalah hasil gembeling tenaga di antara ulama, professional dan aktivis parti.

Jumaat, 22 Mei 2009

SB dan kerahsiaan dalam perjuangan

1
Polis Cawangan Khas (SB), Unit Simpanan Persekutuan (FRU), trafik, forensik, siasatan jenayah adalah kakitangan kerajaan. Mereka digajikan untuk menjamin keselamatan rakyat. Rakyat membayar cukai kepada kerajaan dan sebahagian wang itu digunakan sebagai imbuhan bulanan mereka.

PAS adalah parti yang berjuang secara aman (muwajahah silmiyyah) mengikut lunas-lunas demokrasi. Dalam ceramah, pengerusi majlis lazimnya mengalu-alukan kehadiran semua hadirin termasuk polis. Namun, dalam banyak kes, pihak keselamatan seperti SB dilihat condong kepada parti pemerintah (walaupun kini PR juga memerintah di beberapa negeri).

Semasa dalam perjalanan pulang menghadiri program parti di Jerantut, seorang sahabat  melahirkan kebimbangan tentang SB yang berdampingan rapat dengan pimpinan PAS di Lipis. Saya cuma mendengar kerana tiada maklumat. Namun, perkembangan terbaru mendorong saya untuk berbicara tentang SB dan soal menjaga rahsia-rahsia perjuangan parti.

Saya telah diminta untuk mengaktifkan blog ini semenjak awal bulan Mei. Hebatnya polis dan SB, mereka menjadi antara yang terawal membuat komen di blog ini selepas diaktifkan. Nampaknya SB begitu menekuni gerak kerja parti politik. Tidak hairanlah, jika blog pahangdaily tertera peringatan bahawa blog tersebut sedang diawasi.

Pengalaman lalu memberitahu saya bahawa SB begitu tekun mencari maklumat dan melaporkan kepada pihak yang mengarahkan mereka. Sewaktu kemelut dua imam di Besut pada tahun 1980-an, ayah saya memberitahu bahawa setiap kali Jumaat, SB akan merakam khutbah. Ketika saya terlibat dengan Persatuan Mahasiswa di kampus, emak saya memberitahu bahawa ada SB datang ke rumah dan bertanya sesuatu tentang pergerakan saya.

Pada 14 Februari 2009, saya menitiskan air mata sewaktu Pn Laila (isteri tahanan ISA) yang bercerita tentang penderitaan yang ditanggungnya. Katanya, beliau amat tertekan kerana ahli keluarga di kelilingi oleh SB dan hubungan dengan sanak saudara menjadi renggang kerana hasutan pihak tertentu yang memburuk-burukkan suaminya. Belilah buku `Dunia Tanpa Suami' untuk menyelami penderitaan tersebut.

Dalam majlis yang sama, YB Shaari Sungib menyifatkan bahawa SB di negara ini adalah `political police'. Pengalaman beliau bersama SB dan ditahan ISA menyimpulkan bahawa jangan sekali-kali percayakan SB (never trust SB). Mereka boleh membawa pelbagai watak untuk mendapatkan maklumat yang diarahkan.

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah mengajar kita semua kepentingan menjaga kerahsiaan. Misi keluar dari kepungan maut Quraisy dan berjaya sampai ke Madinah dilalui dengan penuh strategi dan bermaklumat. Saidina Abu Bakar sendiri menyuruh anaknya Abdullah mengintip apakah yang diperkatakan tentang Muhammad SAW oleh Quraisy di siang hari dan melaporkan segala-galanya kepada beliau di waktu senja.  Beliau juga menyuruh orang suruhannya, Amir bin Fuhairah membawa kambing ternakan ke pintu Gua Thur untuk membekalkan susu dan menghilangkan kesan-kesan tapak kaki.

Perjuangan Islam perlu diteruskan. Halangan dan tribulasi adalah sunnah perjuangan. Amanah sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi mesti dilunaskan. Sesungguhnya penderitaan di dunia ini terlalu kecil dan kita mengharapkan rahmat Allah untuk menghuni syurga di negeri yang kekal abadi. Setiap amal usaha ada pertimbangan dosa-pahala. Termasuklah bertugas sebagai SB.

Pejabat PAS-PKR Lipis kini berjiran

0
Dengan pembukaan pusat komersil di Bandar Baru Lipis, sahabat Pemuda telah mengusahakan pejabat baru PAS Kawasan Lipis dengan memilih 1 unit tingkat atas pusat tersebut. Pejabat baru telah menggantikan pejabat lama di markas Tempoyang yang sering dinaiki air selepas hujan. Kibaran bendera PAS di pejabat baru menjadi syiar kebangkitan di Lipis.

Sejak seminggu lepas, PKR telah menaikkan benderanya di sebelah pejabat PAS itu. Menurut sahabat, PKR juga akan membuka pejabat baru mereka. Dengan kata lain, pejabat PAS-PKR Lipis adalah berjiran. Boleh berkongsi idea untuk menghadapi Be End (Bn), yang mana pejabat parti-parti komponen mereka masih kekal di bandar Lipis (Lama).

Sokongan ahli dan penyokong perlu untuk mempertahankan hayat pejabat PAS di Bandar Baru. Kos sewaan RM550, tanpa mengambil kira bil utiliti dan kos pengurusan lain. Terdapat juga kebimbangan sahabat sekiranya ada pihak yang cemburu dengan kibaran bendera PAS, lalu mengambil jalan pantas membeli bangunan tersebut. Akhirnya, pejabat terpaksa berpindah. Infak bulanan seminima RM700 mahu diperolehi setiap bulan. Kami mohon dokongan dan sokongan para dermawan dari seluruh alam untuk membantu PAS Kawasan Lipis.