Jumaat, 5 Jun 2009

Forum di perkarangan stadium

0
Sempena Muktamar ke 55, satu forum agama telah diadakan di perkarangan Stadium Malawati, Shah Alam pada 4 Jun 2009. Forum yang bertajuk `Islam Memimpin Perubahan' membariskan 3 panel iaitu Ustaz Nik Zawawi Salleh, YB Khalil Idham Lim dan YB Dato' Dr. Hassan Ali.

Selaku ahli panel yang pertama, Ustaz Nik Zawawi menegaskan bahawa ideologi ciptaan manusia tidak menjamin kesejahteraan sebenar. Tambahan pula, tiada ideologi yang benar-benar mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Manusia diciptakan oleh Allah. Maka, Allah juga yang tunjukkan penyelesaian terhadap masalah manusia dengan sistem Islam.

Tambah beliau, sistem Islam menyelesaikan masalah manusia dengan hebat. Di kala wanita di pandang rendah, Islam mengangkat martabat wanita. Ketika manusia membezakan darjat, Islam menegaskan bahawa orang yang terbaik di sisi Allah ialah mereka yang bertaqwa, samada orang miskin atau kaya.

Ahli panel ke-2, YB Khalil Idham Lim melahirkan rasa syukur kerana kita tidak memilih bangsa sebagai asas perjuangan. Beliau menegaskan, walaupun seseorang itu berbangsa Arab seperti Nabi Muhammad SAW, tetapi jika menolak Islam, mereka tidak selamat. Beliau menyindir golongan yang mendakwa Melayu itu Islam sedangkan terdapat ramai orang Melayu yang tidak amalkan ajaran Islam.

Ahli panel ke 3, menyifatkan bahawa Malaysia mempunyai sumber yang terbaik untuk laksanakan Islam. Ada ramai mufti dan banyak jabatan agama. Di negara besar seperti Mesir dan Saudi, hanya mempunyai seorang mufti. Di Malaysia, terdapat 14 orang mufti. Namun, oleh kerana sebelum ini mereka yang diberikan kuasa tidak berhasrat mendaulatkan Islam, pencapaian Islam tidak membanggakan, Katanya, Selangor kini sedang menggerakkan semua institusi agama termasuk menggandakan usaha bagi memakmurkan sepenuhnya masjid-surau.

Khamis, 4 Jun 2009

Bermuhasabah di Stadium Malawati

0
Bersama dengan perwakilan, kami berkereta meninggalkan bandar Lipis pada jam 2.15 petang. Sebaik sahaja memasuki daerah Gombak, bendera PAS dilihat mewarnai tiang-tiang elektrik di sepanjang jalan. Kami memilih untuk melalui jalan Kg. Melayu Subang, sebelum tiba di Stadium Shah Alam pada jam 5.15 petang menerusi tol Bukit Jelutong.

Dengan bantuan dari petugas Amal, kami mendaftar dan mendapatkan pas rasmi Muktamar ke 55. Mesra dan lancar. Kesempatan masa yang masih banyak berbaki, kami meninjau gerai-gerai jualan dan makan malam. Nasi gulai kawah yang kami makan berharga RM6.00 sepinggang. Agak mahal bagi kami yang kurang berada.

Bersama dengan perwakilan dari seluruh negara, kami akan mengikuti ucapan dasar pada 5 Jun 2009. Prestasi parti akan dimuhasabah. Kami akan mengikuti muktamar dengan penuh amanah dan akan menyampaikan rumusan-rumusan penting kepada ahli-ahli di Lipis. Kami bukan datang untuk misi cuti-cuti Malaysia. Kami mahu PAS terus cemerlang selaras dengan slogan PAS For All.

1 Malaysia Yang Gempar

0
Ia bukan lagi slogan. Bukan impian, tetapi suatu kenyataan. Malaysia memang satu dan 1 Malaysia kini gempar dengan pencapaian yang luar biasa. Terbaru, 1 Malaysia gempar apabila dikejutkan dengan kejadian bumbung stadium di Gong Badak runtuh. Stadium yang menggunakan wang rakyat sebanyak RM292 juta dan baru dirasmikan pada 10 Mei 2008 runtuh 50% bumbungnya.

Mengikut rekod, ia mula dibina pada tahun 2005 semasa dinasti Idris Jusoh (merampas kerajaan Islam Terengganu). Dinasti itu berazam untuk memahat sejarah dengan memberikan pembangunan yang tidak pernah dilihat oleh rakyat. Nah !, kini memang memahat sejarah apabila sebuah bangunan stadium yang canggih runtuh dalam keadaan bayu Laut China Selatan bertiup sepoi-sepoi bahasa. Piramid di Mesir tersenyum melihat kualiti binaan abad 21.

1 Malaysia turut terkejut melihat gambar lelaki yang dipasang rantai pada leher. Ia bukanlah peristiwa di kem tahanan politik. Memang di kem tahanan politik berlaku penyiksaan seperti yang ditulis oleh bekas-bekas tahanan seperti YB Shaari Sungib, Shuhaimi Said dan Dr Syed Hussin Ali. Tapi gambar ini merupakan tahanan dalam rumah kedai di Selangor. Mereka adalah mangsa ah long. Asalnya nak menolong, akhirnya melolong.

Rakyat 1 Malaysia kini mengharapkan pertolongan terus dari Yang Maha Pencipta. Musibah apakah yang sedang menimpa kami di bumi. Kami berada di dalam ketakutan. Di jalanan ada samseng dan peragut. Hantar anak ke sekolah, makmal komputer runtuh. Pergi ke pejabat kerajaan, siling runtuh. Balik ke rumah, pencuri memecah masuk. Pergi ke tempat kerja, kilang pula tutup. Ya Allah, bantulah kami 1 Malaysia. Turunlah rahmat dari sisi-Mu walaupun tugas sebagai khalifah belum kami sempurnakan sepenuhnya. Amin ! Ya Rabbal 'Alamin....

Rabu, 3 Jun 2009

Hujan emas di Manek Urai

0
Manek Urai tiba-tiba menjadi terlalu istimewa. Ia menjadi sebutan dan perhatian para menteri. Para penduduk di Laloh, Lata Rek, Chuchuh Puteri, Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru kini seolah-olah menerima hujan emas.

Akhbar urus perdana menyiarkan gambar ketua penerangan umno beraksi sebagai seorang penoreh getah. Kononnya hendak selami kehidupan rakyat dan merasai perit jerih menyara keluarga. Saya ceritakan perkara ini kepada YDP PAS Lipis. Beliau begitu geli hati dan berharap batang getah tidak rosak gara-gara Umno nak mendapatkan undi.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan pula meminta supaya gerakkan jentera di Manek Urai. Tapi, kita kena ingat. Jentera yang dimaksudkan tersebut bukan dari umno tapi milik kerajaan. Beliau meminta Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Jabatan Penerangan dan RTM bergabung untuk mendasari hati penduduk (Sumber: UM, 3/6/09, ms 8).

Wahai pak menteri. Ramai lagi rakyat yang melarat di Malaysia ini. Dari Perlis hinggalah ke Sabah, mereka juga perlukan perhatian. Mereka juga rakyat 1 Malaysia. Untuk mendapatkan 1 kerusi DUN, semua tumpuan hanya di tumpukan di Manek Urai. Kalau betul hendak selami kesusahan hidup rakyat, datanglah selepas pilihan raya nanti.

Membantu rakyat adalah bagus. Tetapi memberikan bantuan menjelang pilihan raya adalah mengesahkan bahawa bantuan itu bersifat `ada udang di sebalik mee'. Kepada penduduk Manek Urai, bersyukurlah dengan durian runtuh yang diterima. Tapi ingat, berilah undi kepada calon Pakatan Rakyat.

Selasa, 2 Jun 2009

Sianida dan tragedi di Miyamata

0
Akhbar hari ini melaporkan bahawa penduduk Kg Bukit Koman, gagal menghalang projek lombong emas di Raub. Ia adalah keputusan mahkamah terhadap permohonan oleh Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Sianida Dalam Perlombongan Emas. Jawatankuasa tersebut menuntut supaya syarikat Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd menyediakan Laporan Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment -EIA) yang baru (EIA terdahulu telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar).

Gagal dimahkamah bukan bermakna perjuangan penduduk tersebut suatu yang sia-sia. Ia membuktikan bahawa kesedaran terhadap kesan alam sekitar akibat perindustrian atau pembangunan yang tidak lestari kian meningkat. Oleh kerana sebelum ini saya ada poskan artikel mengenai perlombongan emas di Lipis, saya ingin berkongsi satu cerita `bencana' yang berpunca dari pencemaran bahan toksid.

Terdapat 2 kejadian besar yang sering disingkap oleh aktivis alam sekitar iaitu tragedi di Miyamata, Jepun dan Love Canal, di Eropah. Dalam kesempatan ini, saya cuma hendak imbas malapetaka yang telah menimpa penduduk Miyamata. Difahamkan bahawa suatu waktu dahulu, terdapat perlombongan logam raksa di pinggir laut Miyamata. Tiada sesiapa menjangka bahawa suatu musibah bakal menimpa generasi baru di sana.

Dilaporkan bayi-bayi yang lahir adalah dalam keadaan cacat dan tidak sempurna kejadian. Tumbesaran mereka juga terbantut. Selepas kajian dilakukan, pakar mengesahkan bahawa ibu bapa mereka telah termakan ikan yang keracunan raksa, yang ditangkap di tapak bekas lombong tersebut. Kerajaan Jepun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membiayai kos perubatan mereka yang terlibat. Miyamata  kini dijadikan sebagai kawasan peringatan (Yayasan Miyamata) terhadap bahaya pencemaran bahan toksid.

Di Empang Jaleh, kini dijalankan ternakan ikan air tawar. Di samping itu, pencari etak masih ramai yang datang untuk mencari rezeki. Kawasan ini yang berdekatan dengan lombong emas Penjom perlu dipastikan selamat dari pelepasan atau tumpahan bahan kimia berbahaya. Semoga Allah SWT jauhkan Empang Jaleh dari menjadi `Miyamata 2'.

Isnin, 1 Jun 2009

Tanpa Bn, pilihan raya sangat aman

0
Bersama YDP, kami menginap di Hotel Wali, bandar Chukai. Ada urusan penting di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), cawangan Timur yang terletak di Taman Chukai Utama. Sementara menunggu azan Subuh, saya sempat meneliti berita-berita yang tertera di akhbar yang berada di lobi hotel.

Berita pilihan yang saya nak kongsi bertajuk `Pilihan raya kecil paling aman'. Kenyataan di atas dikeluarkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob sempena PRK Penanti. Sewaktu ditanya oleh pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara, Bukit Mertajam, Datuk Ayub berkata: "Keadaan aman dan terkawal dan ini adalah PR kecil paling aman".

Terang lagi bersuluh. Keadaan tegang semasa pilihan raya adalah angkara provokasi Be End. Tanpa ugutan dan tekanan mereka, rakyat dapat melaksanakan tugas sebagai pemilih dengan lancar. Polis sendiri tidak perlu berkampung dengan jumlah yang luar biasa. Mereka boleh jaga keselamatan di kawasan kerja masing-masing. Juga, duit rakyat tak habis berjuta ringgit.

Jika polis dah buat peristiharan bahawa PR kecil aman tanpa kehadiran Be End, maka fahamlah kita siapa sebenarnya yang mencetuskan ketegangan. Usah lagi menuduh Pakatan Rakyat yang cetuskan suasana panas sepanjang berkempen dan merayu undi.

Kembali ke masjid, surau

0
Komen seorang pengunjung blog ini mengenai kehadiran solat berjemaah sebagai faktor kemenangan perjuangan Islam wajar diberikan perhatian. Sebelum ini, Tn. Hj. Subky A. Latif pernah memperkatakan perkara yang sama dalam tulisannya di akhbar. Masing-masing meletakkan penanda aras kehadiran solat berjamaah waktu subuh menyamai solat Jumaat sebagai saat akan tiba kemenangan Islam.

Sebagai seorang muslim, kita perlu berjuang supaya Islam kembali berdaulat. Samada saat tibanya kemenangan itu, kita masih hidup atau pun telah mati bukanlah suatu yang penting. Ini kerana, kita bukan orang yang memulakan perjuangan ini dan bukan pula orang yang mengakhirinya. Namun, kita yang beriman dengan al-Quran tetap yakin bahawa kesudahan hayat bumi berakhir dengan kemenangan Islam.

Dalam perjalanan ke Kemaman pada hari ini, saya bersama YDP bersolat Zohor-Asar di Masjid Kerambit. Masya'allah. Hanya seorang sahaja yang hadir di masjid itu selain kami berdua. Beliaulah yang mengalunkan azan dan menjadi imam. Kami tak pasti, siapakah yang akan menjadi makmum jika kami tidak singgah bersolat berjamaah. Kalau begini keadaannya, tak usah nak dibandingkan dengan solat Subuh.

Saya mendapati kebanyakan masjid di daerah Lipis tidak diimarahkan dengan majlis ilmu. Program yang masih dikekalkan hanya membaca Yaasin pada malam Jumaat. Apakah benar hipotesis seeorang kawan bahawa Be End memang suka tiada majlis ilmu di masjid atau surau daripada membenarkan program ceramah dan tazkirah yang membawa kepada kesedaran Islam dan menyokong gerakan Islam seperti PAS ?

Saya acap kali singgah di masjid-masjid di Kelantan. Kehadiran makmumnya adalah membanggakan. Ada pula kuliah selepas solat. Ketika sampai di bandar Chukai, kami menunaikan solat Maghrib-Isyak di Masjid Jamek Chukai. Syabas ! Ada kuliah Maghrib disampaikan oleh seorang ustaz yang masih muda.

Marilah kita kembali menghidupkan sunnah Nabi dengan mendirikan solat secara  berjemaah samada di masjid, surau, musolla atau lain-lain tempat. Usah terlalu menuding jari terhadap kesalahan orang lain. Bagaimana dengan kita sendiri ? Sudahkah kita `masuk Islam sepenuhnya' ?