Khamis, 14 Mei 2009

Kuliah Di Markas Tempoyang

0
Kita sudah sedia maklum bahawa Nabi Muhammad saw suruh tuntut ilmu dari buaian hingga ke liang lahad. Lebih-lebih lagi sebagai pendokong gerakan Islam, kita semestinya menjadi contoh sebagai golongan yang suka belajar sepanjang hayat.

Antara program yang telah disusun oleh PAS Kawasan Lipis  ialah kuliah tauhid oleh Ust Juniadi pada hari sabtu, minggu kedua setiap bulan (bermula dengan solat maghrib berjemaah). Beliau menghuraikan kitab Muqaddimah Aqidah Muslimin. Pada 9 Mei 2009, beliau telah selesai mengupas bab perkara-perkara yang membatalkan iman.

Memetik kata-kata Ustaz Junaidi, manusia kini meletakkan sesuatu itu bernilai jika ada kepentingan peribadi kepada mereka. Lantas ramai yang lalai dengan habuan dan tarikan dunia. Mereka lupa bahawa nikmat yang paling besar ialah iman dan Islam. Maka belajar tentang agama adalah penting dan perlu berterusan.

Belajar ilmu feqah perlu berterusan dan wajib kerana hendak perbetulkan ibadah. Belajar tauhid wajib kerana hendak betulkan aqidah. Belajar tajwid wajib kerana nak betulkan bacaan al-Quran. 

Dalam Islam, ranking terbaik ialah menjadi pengajar ilmu agama, diikuti pelajar, seterusnya pendengar. Paling tidak pun, suka kepada majlis ilmu. Mohon dijauhkan dari menjadi golongan ke 5 (terkeluar senarai). Wassalam.

Selasa, 12 Mei 2009

Gas pemedih mata yang mencederakan

0
Kisah malang seorang pelajar di Kota Bharu yang buta sebelah mata, yang dikatakan berpunca dari hentaman kelongsong peluru gas memedih mata perlu diambil pengajaran. Anggota keselamatan di negara ini perlu lebih professional dan bertanggungjawab.

Saya tidak dapat mengulas kes di Stadium Sultan Mohamad IV. Tetapi semasa perhimpunan aman dari Masjid Negara ke Istana Negara pada 7 Mac 2009 menampakkan bahawa pihak keselamatan sukar bertolak ansur. Gas pemedih mata ditembak semacam untuk melepaskan geram.

Saya kagum dengan kekuatan semangat dan ketahanan diri para sahabat yang hadir demo pada hari tersebut. Saya sendiri tidak dapat bertahan, terpaksa undur dan membayangkan akan pengsan. Mata terlalu pedih dan tekak meloyakan. Air yang dibawa habis dibahagikan. Nasib baik ada kawan yang minta makan butiran garam.

Saya turun ke tepi sungai untuk mengurangkan kesan gas. Tapi, sebiji lagi bom asap ditembak di tempat tersebut. Seorang sahabat yang berani telah mengambil sebutir kelongsong dan membawa balik ke Lipis dan ditunjukkan semasa usrah di Tempoyang.

Kelongsong sebesar ulu parang itu tertulis `Chemical Irritating Agent' (Code: 560CS). Tertulis juga sedikit maklumat kesan gas tersebut dan tips menghadapinya: "irritating of eyes, nose, skin and respiratory system. Do not rub eyes, use cold water at the affected area'.

Bagi pendokong gerakan Islam, demonstrasi adalah satu program tarbiyyah. Ia hanya dilakukan secara aman. Jika di negara luar, pihak keselamatan boleh memantau perjalanan demo yang aman, kenapa di negara kita tidak sedemikian?. Satu lagi omongan kosong slogan `rakyat diutamakan'.

Buta KB

Isnin, 11 Mei 2009

Pilihan raya kecil 59 Kerusi DUN ?

0
Kita menyambut berita gembira dari Mahkamah Tinggi KL dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT. "KUALA LUMPUR, 11 Mei (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah" - demikian lapor Harakah.

Seterusnya, kita berdoa semoga Sultan Perak memberi restu supaya DUN dibubarkan dan biarlah rakyat yang menentukan kerajaan pilihan mereka. Bersedialah dari sudut tenaga, masa, kepakaran dan wang ringgit untuk turun berkempen bagi menjulang kerajaan Pakatan Rakyat.

0-nizar1[1]

Ahad, 10 Mei 2009

Suatu pengajaran tentang perubahan

0
Iceberg

 

 

 

 

 

 

 Perubahan dilaungkan di sana sini. Di kalangan ahli politik, mereka melaungkan `vote for change'. Sewaktu saya bertugas dengan syarikat Samsung, pihak pengurusan pernah mempromosikan slogan `change begins with me' dan `change for success'. Dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi tulisan Victor S. L. Tan, yang diperolehi sewaktu menghadiri kursus `changing mind set' suatu waktu dulu.

Cerita `suatu pengajaran tentang perubahan' adalah berkaitan dengan insiden kapal mewah yang karam di tengah lautan. Titanic, kapal penumpang yang menjadi harapan ramai, pernah dianggap sebagai kapal paling selamat di dunia. Badan kapal itu sepanjang 850 kaki dengan 14 buah kompartmen kedap air. Beratnya 46,000 tan. Tiada siapa menyangka ia boleh karam. Kapal Titanic dianggap sangat kukuh dan mampu menghadapi apa jua keadaan di lautan.

Namun, kapal itu telah tenggelam, karam di dasar laut bersama-sama kapten dan 1,513 penumpang yang malang. Peristiwa kapal Titanic memberi pengajaran tentang perlunya perubahan dalam organisasi, pendekatan perjuangan, hatta kepada pegangan orang perseorangan. Bagi Victor S.L. Tan, peristiwa Titanic berpunca dari 3 kesilapan besar:

Kesilapan 1: Percaya akan kekebalan -  Setelah Titanic melanggar tepi bongkah ais (iceberg) yang tajam bercerancang, Kapten Ernest Smith sedikit pun tidak bimbang, meskipun dia sedar bahagian badan kapal itu telah merekah. Malahan, para pegawainya bersorak dengan gembira kerana kapal itu dapat melepasi iceberg. Apa yang mereka tidak sedar ialah air sedang mengalir masuk melalui rekahan sepanjang 300 kaki. Kesudahannya, kapal itu tenggelam di Lautan Atlantik.

Kesilapan ke 2: Mengambil ringan ancaman persekitaran - Seramai 2,300 orang penumpang berada di dalam kapal, tetapi terdapat hanya 16 buah bot penyelamat untuk 1,250 orang sahaja, walhal kapal itu boleh dilengkapi dengan 48 buah bot penyelamat. Meskipun laporan tentang wujudnya iceberg di sekitar perairan yang akan dilalui diterima, kapten tidak mengarahkan supaya kelajuan kapal dikurangkan atau bertukar haluan. Isyarat wireless yang menunjukkan kapal itu sedang bergerak dengan kelajuan 22 knot sejam menuju ke arah iceberg, sedikitpun tidak dihiraukan.

Kesilapan ke 3: Sudah terhantuk baru tengadah - Menurut laporan, perlanggaran berlaku tepat pada pukul 11.40 malam. Selama 25 minit berikutnya, tiada apa yang dilakukan. Hanya sejurus 5 minit selepas waktu tengah malam, barulah arahan untuk mengeluarkan bot-bot penyelamat diberi. Tetapi ia telah terlambat...

Demikianlah secebis kisah tentang perlunya PERUBAHAN. Kita sebagai individu juga perlu berubah. Apatah lagi Islam mengajar supaya `hari ini lebih baik berbanding semalam dan esok lebih baik berbanding dengan hari ini'. Kerajaan juga boleh berubah. Maka marilah kita bersam-sama melakukan perubahan ke arah sesuatu yang diredhai Allah swt.

BN tak mesra saudara baru ?

0
Kartun Rossem yang tersiar dalam akhbar Harakah baru-baru ini sepatutnya menjadi renungan kepada semua. Lebih-lebih lagi kepada tuan nazir, tok imam, tok bilal, tok siak dan yang sewaktu dengannya; yang masih mendakwa kerajaan Be End (BN) pimpinan umno sebagai pembela agama Islam yang sebenar. Keputusan kabinet kerajaan BN sangat tidak menepati kehendak Islam dalam soal status agama anak-anak saudara baru kita. Kepada pengundi setia umno, usah kemilau dengan binaan masjid yang indah, pusat zakat yang berhawa dingin atau pengumuman Malaysia sebagai negara Islam. Setelah ditulis `Islam sebagai agama rasmi' dalam perlembagaan, maka sewajarnya perintah Allah dan Rasul `diutamakan', bukan undi dan hati rakan komponen yang diutamakan.kabinet

Sabtu, 9 Mei 2009

Memutuskan talian hayat umno

0
SabuAlhamdulillah, Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu telah dibebaskan selepas ditangkap oleh polis atas tuduhan mengajak rakyat berkumpul di Perak untuk munajat. Abang Mat baru saja datang ke Lipis dan menyampaikan ceramah umum di Markas PAS Cawangan Kg. Gua.

Kampung Gua adalah kubu umno. Ia juga tempat asal Ketua Pemuda umno Pahang yang baru dilantik oleh KJ iaitu Abu Jimi. Namun, ceramah pada malam tersebut mendapat sambutan yang luar biasa. Pada malam itu, turut berceramah ialah Sofi Wahab, seorang jurutera muda yang berasal dari Lubuk Kulit, Lipis,  tetapi kini berkhidmat di Melaka. Menjadi Ketua Penerangan di negeri yang dikuasai oleh Ali `Ketam', yang partinya umum terlibat dengan politik wang sewaktu kempen pemilihan 2009.

Intipati penting ceramah Abang Mat ialah tentang 2 talian hayat umno di musim pilihan raya. Menurut beliau, talian hayat tersebut ialah undi pos dan juga undi peneroka. Ketelusan undi pos telah diperjuangkan oleh BERSIH. Rakyat pun sudah turun berarak ke istana negara tahun lepas. Ia perlu terus diperjuangkan memandangkan Menteri Pertahanan baru, Zahid Hamidi mahu mengadakan kem di setiap kawasan parlimen.

Talian hayat kedua ialah undi peneroka Felda. Di Pahang yang mempunyai banyak tanah rancangan, perkara ini turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Semasa pilihan raya umum tahun lepas, harga getah dan sawit adalah tinggi. Umno menjaja ke segenap pelusuk tanah rancangan bahawa inilah kejayaan pimpinan mereka. Ditabur pula insentif dan bonus, seolah-olah itu duit umno. Sedangkan, ia adalah duit Felda hasil kerja keras semua peneroka sendiri.

Di kawasan Lipis, terdapat gugusan Felda Kechau, di samping Felda Plantation Sdn Bhd di mukim Telang. PAS cawangan Felda Kechau khususnya, PAS kawasan dan negeri amnya, perlu memecahkan tembok yang dibina oleh umno di tanah rancangan. Menurut mantan Ketua Penerangan PAS Lipis, Cikgu Hj Abu Bakar, peneroka agak takut untuk menerima risalah-risalah penerangan yang diedarkan. Teringat saya kepada Mazlan Aliman yang mengetuai ANAK. Ada baik juga menjemput beliau memberikan penerangan, di samping mengedar buku tulisan beliau: "Dulu tolong, kini along" yang merujuk kepada pengurusan Felda.

Bersama mengubah minda rakyat

0
Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, merangkap TYDP Lipis, Roslan Zainal berpendapat bahawa jentera pilihan raya PAS di Pahang adalah antara yang terbaik. Namun, perubahan atau `tsunami politik' hanya berlaku di negeri di Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang dan Kedah tetapi tidak berlaku di Pahang dan beberapa negeri lain. Beliau berkeyakinan bahawa  faktor utama fenomena tersebut ialah rakyat tidak mendapat maklumat yang tepat.

Di sebelah pantai barat, terutama di kawasan bandar, perumahan baru dan kawasan perindustrian, penduduk mudah memperolehi berita alternatif menerusi internet. Mereka boleh membandingkan maklumat yang diterima dari media milik atau pro kerajaan seperti RTM, Bernama & saluran media prima dengan pandangan pakatan rakyat menerusi berita on line, klip video ceramah, blog dan sebagainya. Setelah pertimbangan yang bijak dibuat, mereka telah bersedia melakukan perubahan dengan menolak Be End (BN).

Dalam meningkatkan magnitud sokongan terhadap Pakatan Rakyat, kita semua harus berperanan lebih aktif untuk menyampaikan maklumat terutama di kawasan kampung atau luar bandar.  Kita perlu mengubah minda rakyat bahawa bukan BN sahaja yang boleh memerintah Malaysia. Tambahan pula sebagai muslim, kita memperjuangkan terlaksananya sistem pemerintahan yang diredhai oleh Allah SWT. Selepas lebih 50 tahun merdeka, tuntutan agama belum kita langsaikan.

Perubahan iklim dan landskap politik yang lebih baik boleh direalisasikan jika berlaku perubahan di peringkat pusat atau kejayaan menukar kerajaan federal. Maka, usaha perlu digerakkan dari sekarang untuk mengubah minda rakyat di seluruh negara termasuk Pahang dengan menyemarakkan aktiviti penerangan. Ia bukanlah suatu yang mustahil tetapi menuntut setiap diri untuk berperanan. Tidak cukup sebagai pemerhati atau sekadar menunggu perubahan. Semoga Allah permudahkan.