Jumaat, 19 Jun 2009

Manfaatkan hasil bumi untuk rakyat

0
Rakyat di negeri Pahang diseru supaya membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan Bn yang telah memerintah negeri ini sejak 52 tahun yang lalu. Demikian seruan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal sewaktu berceramah di Kg. Telok Gunung. Beliau mempersoalkan sejauh manakah kebijaksanaan para pemimpin tersebut dalam menguruskan khazanah dan hasil bumi.

Katanya, negeri ini mempunyai kekayaan balak dan bijih emas namun ia tidak memberikan kesejahteraan yang ketara kepada rakyat. Tambah malang lagi, kerajaan negeri Pahang kini telah diarahkan oleh mahkamah supaya membayar saman ganti rugi kepada sebuah syarikat pembalakan dan rakyat akan menanggung beban bayaran tersebut.

Sementara itu, Pemuda PAS Lipis telah membuat beberapa tinjauan berdasarkan aduan rakyat. Di Empang Jaleh, Kuala Lipis didapati kerja-kerja mengeluarkan balak sedang rancak dilakukan. Terdapat timbunan kayu balak yang sedia untuk dibawa keluar (rujuk gambar). Sementara itu, di Kg. Chegar Perah, Kuala Lipis dikatakan terdapat usaha oleh pihak tertentu untuk mengeluarkan balak di kawasan penempatan PPRT.

Sejauh manakah rakyat telah mendapat manfaat dari projek pembalakan dan perlombongan emas di negeri Pahang ? Para pemimpin tertentu diingatkan supaya jangan terlalu rakus mengumpul kekayaan dengan melupakan rakyat  yang masih  miskin dan memerlukan. Rakyat juga tidak perlu bimbang untuk menukar kerajaan supaya khazanah alam dan hasil bumi dapat diuruskan secara bijaksana untuk kebaikan semua.

Balak

Khamis, 18 Jun 2009

PAS Lipis Sampaikan Khairat Kematian

0
Majlis menyampaikan sumbangan wang khairat kematian kepada waris almarhum Hj. Abu Hassan Mohamed telah disempurnakan oleh YDP PAS Lipis, Ustaz Hj. Ishak Sat. Penyampaian telah dilakukan sebaik sahaja selesai menguruskan pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kg. Relong.

Sumbangan pendahuluan tersebut diterima sendiri oleh balu almarhum dan diperhatikan oleh anak-anak beliau. Wang khairat kematian adalah manfaat daripada Skim Takaful Berkelompok yang diuruskan oleh Badan Perhubungan PAS Pahang dengan kerjasama Takaful Etiqa. Ia merupakan sebahagian daripada program kebajikan yang boleh disertai oleh ahli mahupun bukan ahli PAS.

Takafulabu

PAS Kawasan Parlimen Lipis ingin merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham Hj. Abu Hassan Mohamed. Semoga tabah menghadapi sedikit ujian daripada Allah Azza Wajalla. Al-Fatihah.

Selamat Jalan Saudaraku Hj. Abu Hassan

9
AbuHassanJenazah almarhum Hj. Abu Hassan Mohamed (1952-2009) telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Relong, Kuala Lipis pada 11.30 pagi (18. 06. 09).  Tazkirah dan talkin telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau mengingatkan semua yang hadir bahawa kematian bukanlah kesudahan penghidupan. Ia merupakan satu proses perpindahan dari alam dunia ke alam barzakh.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim juga meminta kepada semua yang hadir supaya mengambil iktibar bahawa jasad setiap kita juga akan dikebumikan pada suatu hari nanti. Maka, kita perlu membuat persediaan untuk menghadapi saat tersebut dengan melakukan amal soleh.

Terdahulu, jenazah telah disembahyangkan di rumah almarhum Hj. Abu Hassan pada pukul 10.30 pagi, yang diimamkan oleh Ketua Urusan Ulama', Ustaz Hj. Muhyiddin. Turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungan, Roslan Zainal, Setiausaha Pemuda, Ustaz Junaidi dan tokoh korporat Dr. Abdul Wahab. Turut serta menyembahyangkan jenazah ialah YDP PAS Lipis, Ust. Ishak Sat; YDP PAS Cameron Highlands, Ustaz Ahmad Ludin dan YDP PAS Raub, Dr. Mohamad Nilam.

PAS Kawasan Parlimen Lipis telah kehilangan seorang aktivis yang gigih dan komited dalam perjuangan Islam. Semoga rohnya berbahagia di sisi Allah di alam persinggahan. Selamat jalan saudaraku.... Al-Fatihah.

SU PAS Lipis Kembali Ke Rahmatullah

0
Setiausaha PAS Kawasan Parlimen Lipis, Allahyarham Hj. Abu Hassan Hj Mohamed, 57, telah kembali ke rahmatullah malam tadi (17 Jun 2009). Mengikut maklumat yang diterima, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daerah Lipis selepas mengadu sakit dada. Al-fatihah.

Beliau dilahirkan pada 8 Julai 1952 dan kembali menetap di Kg. Relong, Kuala Lipis selepas bersara dari RTM pada tahun 2004. Allahyarham kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri sebagai agen takaful (Agensi Ar-Rawa) di bangunan MARA, bersebelahan stesen keretapi Kuala Lipis.

Antara program parti terakhir bersama beliau ialah menghadiri Mesyuarat PAS Kawasan Parlimen Lipis pada 13 Jun 2009. Terdahulu, kami bersama beliau menjalankan usrah di Kg. Tain/Petola, Kuala Lipis. Semasa sesi taaruf, Allahyarham memakmumkan bahawa beliau mempunyai 4 orang cahaya mata.

Pada waktu Zohor semalam, beliau menunaikan solat berjamaah di Madrasatul Firdaus (Masjid Lama Kuala Lipis). Beliau kelihatan sihat dan memaklumkan kepada saya untuk menguruskan kebenaran polis (permit) bagi ceramah Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man di Kg. Telok Gunung pada hari ini (18 Jun 2009).

Saya sempat hadir ke pejabat beliau di bangunan MARA. Beliau mahu memberikan perisian jawi tetapi saya tidak membawa Pendrive. Beliau menunjukkan kepada saya slogan `Islam Memimpin Perubahan' yang telah ditaip dengan menggunakan tulisan jawi. Tiada tanda-tanda bahawa beliau akan meninggalkan kami.

Selepas solat Isyak, kami dikejutkan dengan deringan telefon dan SMS dari ahli keluarga beliau dan para sahabat seperjuangan, yang memaklumkan bahawa beliau baru sahaja dijemput mengadap ke hadrat Ilahi. Inna lillahi Wa  Inna Ilaihi Rajiuun. Kami bersegera ke hospital. Dalam perjalanan, seorang sahabat memaklumkan bahawa jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumahnya di Kg. Relong.

Bersama sanak-saudara, para penduduk dan hadirin-hadirat, majlis bacaan Yaasin dan tahlil telah disempurnakan di rumah beliau pada malam tadi. Saya sempat melihat wajahnya yang tenang. Semoga Allah SWT menempatkan rohnya bersama para syuhada' dan golongan solihin. Amim ! Ya Rabbal 'Alamin.

Jumaat, 12 Jun 2009

Memastikan Umno terburai di Manek Urai

0
Selepas tewas di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Umno kini dikatakan sedang menyusun strategi baru untuk memenangi hati pengundi di Manek Urai. Mereka sanggup berubah menjadi `khadam' rakyat. Menerusi slogan `KBSM' mereka akan muncul bersama rakyat sekiranya ada kenduri (K), bersalin (B), sakit (S) dan mati (M). Kesungguhan mereka meliputi semua waktu samada pagi-petang dan siang-malam.

Ketua Dewan Ulama' PAS, YB Dato' Harun Taib mengingatkan petugas PAS/PR supaya tidak berputus harap dalam meraih undi daripada orang-orang Umno. Beliau sempat berkongsi beberapa cerita di Stadium Malawati tempoh hari. Pertama, perihal seorang wanita umno yang tegar. Hidup-mati bersama parti dacing dan keris. Namun, kesungguhan wakil PAS telah berjaya mendapat satu undi dari wanita tersebut dengan hanya melemparkan senyuman sewaktu bertemu di pintu masuk tempat mengundi.

Kedua, perihal seorang pak cik yang boleh dianggap sebagai Umno totok. Hatinya sebiru dacing. Jika ada perayu undi PAS datang ke rumahnya, lantas ditutup pintu. Tak beri peluang ! Namun, ada petugas PAS yang bersungguh. Beliau nampak di hadapan rumah pak cik tersebut terdapat pohon nangka yang sedang berbuah. Masih muda lagi. Datanglah beliau ke rumah pak cik dan memberitahu bahawa dia  hendak membeli buah nangka tersebut setelah masak nanti.

Selang seminggu datang lagi. Nangka memang belum masak tapi puji pak cik bahawa baka nangkanya adalah baik. Jangan lupa untuk beritahu bila sudah masak. Beberapa minggu kemudian datang lagi. Kali ini, pak cik dah tak berbulu dengan aktivis PAS. Pintu rumah di buka dan dibuat kopi. Menurut pembawa cerita, sementara menunggu tempoh nangka masak, pak cik telah terbuka hati untuk masuk PAS.

Medan di Manek Urai adalah terbuka kepada bakal YB. Segala ramuan perlu diadun bagi memikat selera pengundi. Misi besar PR ialah memastikan Umno terburai di Manek Urai dengan score card 6 - 0. Insya'allah.

Kuliah/Ceramah Setempat

0
Berikut adalah beberapa program kuliah/ceramah setempat di Parlimen Lipis & Cameron Highlands. Anda dijemput hadir dan tolong hebahkan:

1] Kuliah aqidah bulanan oleh Ust. Junaidi di Markas Tempoyang, Lipis pada 13 Jun 2009, mulai solat Maghrib. Kitab: Muqaddimah Aqidah Muslimin.

2] Kuliah tajwid mingguan oleh Ust. Abd. Rahman di Markas Bapong (hari Khamis) dan di Markas Berchang (hari Sabtu). Kuliah bermula selepas solat Maghrib.

3] Ceramah umum oleh Sdr. Mohamad Sabu di Markas Sg. Koyan Satu pada 13 Jun 2009, selepas Isyak. Jamuan makan tengahari di Darul Hidayah pada hari yang sama.

4] Ceramah perdana oleh Ybh Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan Sdr. Roslan Zainal al-Ahmadi di Kg. Telok Gunung (berhampiran markas PAS) pada 18 Jun 2009, selepas Isyak.

Sila hadir hadir beramai-ramai. Wassalam.

Sabtu, 6 Jun 2009

Bersolat di negeri maju

0
Sempena muktamar PAS ke 55 dari 5 - 7 Jun 2009, kami menginap di Seksyen 13, Shah Alam. Pada keheningan pagi 5 Jun, kami berjalan kaki menuju ke Surau Munawwarah pada jam 5.30 pagi. Sudah ramai ahli jamaah yang sedang menunggu azan subuh. Terdapat ramai juga musafir lain yang menjadikan surau tersebut sebagai tempat berehat (tidur). Saya dapati ada yang tidak menjaga adab-adab tidur di rumah Allah. Alas tidak digunakan dan mereka tidur tanpa berbaju di atas karpet surau. Saya sempat mengejutkan beberapa orang yang masih belum terjaga.

Surau Munawwarah telah dinaikkan taraf menjadi tempat mendirikan solat Jumaat. Dewan solat utama dilengkapi dengan penghawa dingin. Pagi itu, imam membacakan surah as-Sajadah. Dalam tempoh solat Subuh yang panjang tersebut, 3 kali konsentrasi solat terganggu dengan deringan panggilan telefon bimbit. Papan tanda matikan handphone tertera jelas. Namun, kenapakah mereka ini tidak boleh tinggalkan sejenak handphone sewaktu mengadap Ilahi ?

Kemudiannya, kami ke Stadium Malawati untuk mengikuti Ucapan Dasar dan perasmian Muktamar ke 55. Saya agak kagum dengan kemampuan Tuan Guru Presiden yang menyampaikan ucapan dasar selama 1 jam 20 minit yang bertema Islam Memimpin Perubahan. Satu tempoh yang agak lama dan beliau mampu sempurnakan ucapan tersebut dengan penuh bersemangat.

Kami kembali semula ke Surau Munawwarah untuk Solat Jumaat. Jemaah yang hadir melimpah ruah. Sehinggakan air tidak mencukupi terutama di tandas dan tempat wudhuk. Dalam keterbatasan itu, kami teruja dengan khutbah yang disampaikan sendiri oleh Exco Kanan Kerajaan Selangor, Dato' Dr Hassan Ali. Intipati penting khutbah ialah mengajak semua yang hadir supaya mencintai Allah, Rasul dan Berjihad melebihi kecintaan yang lain seperti kecintaan terhadap keluarga, harta dan lain-lain.

Selepas sesi petang muktamar, kami bergerak ke Seksyen 7 pada jam 6.30 petang. Badan Perhubungan PAS Selangor mengadakan majlis makan malam di kediaman rasmi Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dalam perjalanan itu, kereta kami hampir dilanggar oleh sebuah kereta lain di sebuah roundabout. Syukur, Allah selamatkan kami. Kami tiba beberapa minit sebelum azan Maghrib. Kami bersolat Maghrib Isyak di surau yang turut dibina di kediaman rasmi tersebut. Surau itu juga berhawa dingin.

Kediaman rasmi Menteri Besar terletak di atas bukit. Kami boleh memandang panorama bandaraya Shah Alam. Kemudiannya, kami masuk ke Dewan Megawati, tempat jamuan diadakan. Tan Sri Khalid bermurah hati menyediakan makan malam berlauk daging rusa. Semasa ucapan aluan, Timbalan Presiden berseloroh bahawa sebelum ini kecoh semasa Tan Sri agihkan lembu korban. Harapnya, daging rusa yang dihidangkan kepada perwakilan muktamar tidak menjadi isu politik.

Di negeri maju seperti Selangor, kemudahan solat yang disediakan adalah bertaraf 5 bintang. Namun, usaha perlu digerakkan supaya surau dan masjid diimarahkan. Semua perlu memainkan peranan dalam usaha menyedarkan penduduk di negeri maju ini dan juga di tempat lain supaya rumah Allah sentiasa makmur dan ramai para jamaahnya.