Rabu, 21 April 2010

Paid kesan salah guna cara sembelih

sinar harian

KUALA LIPIS - Atas dasar maklumat dan aduan daripada orang awam berkaitan penyalahgunaan sijil penyembelihan milik orang lain, pihak Pejabat Agama Islam

Daerah (Paid) turun padang ke beberapa premis perniagaan dan pusat pe�nyembelihan ayam di daerah ini.


Kadi Daerah ini, Mohd Fadzli Mat Saman berkata, dalam tinjauan yang dilakukan oleh pihak Paid, mereka mendapati terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengguna pakai sijil penyembelihan milik orang lain dan mengambil kesempatan mengaut untung.

Menurutnya, tukang sembelih ayam tersebut tidak menjalankan tugas membekalkan ayam kepada premis perniagaan di daerah ini dan merasa terkilan dengan sikap penyembelih lain yang mengambil kesempatan di atas sijil miliknya.

“Pihak kami menerima aduan sejak 26 Mac yang lalu dan Bahagian Penguat kuasa Agama Bahagian Penyelidikan Paid dan pegawai dari Majlis Daerah Lipis (MDL) sama-sama turun padang membuat pemeriksaan di premis berkenaan.:

“Dalam tinjauan tersebut, terdapat penyembelih dari luar yang diiktiraf menyalahgunakan sijil penyembelihan atas nama orang lain dan ini merupakan kes pertama yang berlaku di daerah ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd Fadzli berkata, dalam tinjauan tersebut juga pihaknya mendapati terdapat ayam yang disembelih tidak menurut hukum syarak dan haram untuk di makan oleh umat Islam.

“Dalam tinjauan di premis penyembelihan, pegawai kami turut menjumpai dua ekor ayam yang masing-masing mempunyai berat 1.9 kilogram dan 1.864 kilogram yang disembelih tidak ikut hukum syarak.

“Justeru, kami akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa ke premis perniagaan di sekitar daerah ini bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya.

Mohd Fadzli berkata, semua pihak terutama pihak penyembelih dan premis perniagaan yang terlibat supaya memperbaharui sijil penyembelihan agar tidak berlaku perkara yang mengelirukan sekiranya pihak Paid hadir melakukan operasi seperti itu.

“Saya berharap semua pihak mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan perkara berkaitan penyembelihan dilaksanakan mengikut hukum syarak dan sebagai pengguna, masyarakat harus peka terhadap perkara ini.

“Saya juga menasihati kepada premis perniagaan dan penyembelihan agar mementingkan tahap kebersihan di kawasan premis dan menjalankan perniagaan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan