
Islam amat mementingkan kebersihan. Ia diletakkan sebagai sebahagian dari iman. Dalam isu sisa buangan ini, jangan terlalu awal menuding jari kepada pihak lain. Kita, ahli keluarga dan masyarakat boleh memainkan peranan masing-masing. Di jalan raya, kita masih melihat pemandu dan penumpang membuang sampah di atas jalan. Di masjid, selepas menggunakan air masjid secara percuma, kita sering melihat lampin terpakai ditinggalkan di dalam bilik air. Sangat jijik perilaku orang Islam kini.
Saya pernah berhenti rehat di Pusat Rekreasi Sungai Yu, Kuala Lipis. Begitu juga pernah mandi bersama keluarga di sungai Empang Jaleh. Tempat itu menjadi kotor kerana sampah dibuang di merata tempat. Kebersihan alam tercemar angkara perbuatan kita sendiri. Jika di sana tiada kemudahan pengutip sampah, buangan tersebut sepatutnya kita kumpulkan dan bawa balik untuk dibuang ke dalam tong yang disediakan (akan dikutip oleh pekerja Alam Flora atau pihak berkuasa tempatan-PBT).
Dengan pertambahan penduduk dan industri, kuantiti sampah kini meningkat dengan mendadak. Semasa saya bertugas di Kawasan Perindustrian Kechau Tui, Lipis, kami menghadapi masalah pelupusan buangan. Bagi buangan domestik, PBT tidak mampu menyediakan tapak pelupusan yang mempunyai sistem kawalan pencemaran kerana kekurangan peruntukan. Sampah hanya dibuang di sebuah lembah di Kechau Mas, yang diluluskan oleh PBT. Buangan terjadual yang tidak boleh dikitar semula, terpaksa dihantar ke Kualiti Alam, Negeri Sembilan dengan kos pelupusan yang mahal. Bos agak liat untuk meluluskan penghantaran atas faktor kewangan syarikat.
Kempen kitar semula telah lama dilakukan. Namun, kita masih belum serius mengamalkannya. Terdapat juga buangan yang boleh digunakan semula. Manfaatkan buangan tersebut dan bukan sekadar membuang sebagai sampah. Di negara maju, terdapat galakan membawa bakul atau bekas barangan dari rumah semasa ke pasaraya, bagi mengurangkan penggunaan plastik.
Di atas semangat kebersihan adalah sebahagian dari iman dan mematuhi firman Allah supaya tidak melakukan kerosakan di muka bumi, marilah kita berusaha menjadikan alam sekitar kita sentiasa bersih, segar dan kondusif. Usah jadikan bumi ini tercemar dan tidak mampu lagi dihuni oleh hidupan seperti di planet-planet lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan