Khamis, 2 Julai 2009

Di sebalik runtuhan tebing Sg. Kerpan, Lipis

Runtuhan cerun jalan, yang juga tebing Sg. Kerpan, Lipis telah lama berlaku. Ia bermula selepas kerja-kerja menggantikan paip air lama setahun yang lalu. Diikuti dengan kedatangan musim tengkujuh pada tahun 2008, yang membawa kepada kejadian tanah runtuh yang teruk.

Di sebalik runtuhan tebing tersebut, terdapat satu keruntuhan yang lebih besar. Ia melibatkan keruntuhan nilai dan tamadun kemanusiaan. Akhbar harian pada minggu ini melaporkan bahawa seorang pelajar dirogol oleh bapa tirinya dalam semak di Sg. Kerpan, Lipis. Bapa haruan itu dalam perjalanan untuk menghantar pelajar tersebut ke asrama. Namun, nafsu kebinatangan telah menodai kesucian seorang gadis pada siang hari (waktu petang).

Sumbang mahram kian meningkat. Jenayah seksual masih berterusan. Perkara ini amat membimbangkan. Namun, sekadar menjadi pemerhati dan pengkritik tidak memadai. Setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan. Fenomena jenayah ini adalah suatu petanda gersangnya nilai iman. Hidup bertunjangkan nafsu dan keseronokan.

Gerakan Islam seperti PAS perlu tampil memimpin perubahan. Usahlah menunggu sehingga rakyat berikan mandat memerintah untuk memulakan tindakan. Masyarakat perlu dibimbing ke jalan yang lurus. Dalam politik, PAS telah menuntut sebuah pemerintahan yang adil. PAS turut menentang PPSMI demi kelangsungan pendidikan anak bangsa. Parti juga menuntut pemansuhan akta-akta zalim seperti ISA. Menerusi Amal Malaysia, misi kemanusiaan dihulurkan.

Namun, program-program dakwah umum dan pemantapan institusi kekeluargaan belum begitu menonjol.  Inilah cabaran kepada PAS dan semua ahlinya untuk membuktikan bahawa tugas amal makruf dan nahi mungkar adalah diutamakan. Tugas kita adalah melakukan kerja agama. Allah SWT yang akan memberikan hidayah kepada hamba-hambanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan