Khamis, 13 Mei 2010

13 Mei: Hari Perpaduan rakyat menolak politik perkauman



Ditulis oleh Harakahdaily   
THURSDAY, 13 Mei 2010 04:23


KUALA LUMPUR, 13 Mei - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengajak rakyat memasyhurkan tanggal 13 Mei setiap tahun sebagai Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman sempena memperingati tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei, 1969 lalu.


"Supaya 13 Mei di mana pihak tertentu mencetuskan rusuhan yang akhirnya mengheret orang Melayu dan Cina saling bergaduh tidak lagi berulang, elok 13 Mei dijadikan Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman," ujarnya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata (gambar), amalan politik perkauman secara melampau oleh pihak tertentu merupakan punca utama tercetusnya tragedi berdarah tersebut.


"Sesiapapun tidak boleh menolak kebenaran sejarah bahawa pergaduhan segelintir rakyat Melayu (dan) Cina ini berpunca politik perkauman.


"Mereka tidak bergaduh atas nama  agama, jauh lagi atas nama parti Islam PAS," ujar beliau.


Disebabkan itu, menurut beliau, walaupun rusuhan kaum berlaku di ibu negara dan beberapa negeri tertentu, tetapi tidak berlaku di Kelantan yang pada ketika itu diperintah oleh PAS.


Katanya lagi, pembabitan pemimpin Umno waktu itu menggembleng orang-orang Melayu yang dipercayai umum adalah ahli-ahli Umno seakan mencerminkan amalan politik Umno sendiri.


Menurut beliau, Umno serta parti-parti perkauman yang lain pun perlu meninggalkan politik perkauman sekiranya mereka jujur mahu melihat perpaduan di kalangan rakyat.


"Hari Perpaduan Rakyat di sini ialah rakyat diajak berpadu menentang politik perkauman termasuk yang diperjuangkan oleh Umno secara salah, zalim," ujarnya lagi.


Beliau turut mencadangkan supaya silibus pengajian secara berkaitan peristiwa 13 Mei itu dirakamkan semula secara holistik, supaya tidak memberikan gambaran yang salah kepada pelajar berhubung peristiwa hitam itu.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno supaya mendesak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya memohon maaf kepada rakyat kerana kesediaannya menyertai perhimpunan 'Melayu Bangkit' yang dijadualkan di Kuala Terengganu hari ini.


Ini kerana, menurut Mahfuz, tindakan tersebut seakan mencerminkan bahawa Mahathir yang juga bekas Presiden Umno mempunyai sikap anti kepada kaum-kaum lain selain Melayu.


Bagi Mahfuz, kalau tidak pun Najib bersedia memasyhurkan 13 Mei saban tahun sebagai Hari Perpaduan Rakyat Menolak Politik Perkauman, sekurangnya-kurangnya Najib perlu membuktikan bahawa beliau ikhlas melaksanakan wawasan 1Malaysia dengan memberi nasihat
kepada Mahthir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan